BMW Malaysia Lancar Tiga Model Baharu – BMW M2 CS, BMW M3 Touring Competition dan BMW 218 Gran Coupé M Sport
Lina Rosli
BMW Group Malaysia baru-baru ini memperkenalkan tiga model baharu ke pasaran tempatan iaitu BMW M2 CS, BMW M3 Touring Competition M xDrive dan BMW 218 Gran Coupé M Sport sempena acara BMW Clubhouse yang berlangsung di Factory 19, Petaling Jaya.
Acara yang berlangsung dari 17 hingga 19 Julai 2026 itu turut menjadi platform bagi orang ramai melihat sendiri rangkaian model terkini BMW, MINI dan BMW Motorrad, selain menikmati pelbagai promosi eksklusif.
Kemunculan BMW M2 CS dan BMW M3 Touring Competition M xDrive menjadi tumpuan utama kerana kedua-duanya mewakili barisan prestasi tertinggi BMW M.

Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel, kedua-dua model ini membuktikan komitmen BMW M dalam menawarkan pengalaman pemanduan berprestasi tinggi kepada peminat automotif di Malaysia.
BMW M2 CS merupakan BMW M2 paling ringan dan paling berkuasa pernah dihasilkan, dibangunkan berasaskan pengalaman di litar lumba serta ditawarkan dalam jumlah yang terhad.
Model ini turut memenangi anugerah AUTO BILD Sportscars of the Year 2025 dalam kategori Compact Sports Cars over €50,000.

Sementara itu, BMW M3 Touring Competition M xDrive mencipta sejarah sebagai BMW M3 Touring pertama yang ditawarkan secara rasmi di Malaysia, bersempena sambutan ulang tahun ke-40 BMW M3.
Model ini menggabungkan prestasi sebuah BMW M3 dengan praktikaliti sebuah wagon, selain pernah dinobatkan sebagai What Car? Performance Car of the Year 2025 untuk dua tahun berturut-turut.
BMW M2 CS – Lebih Ringan, Lebih Berkuasa
BMW M2 CS tampil dengan pelbagai komponen gentian karbon seperti M Carbon Roof, M Carbon Tailgate dan M Carbon Rear Diffuser yang membantu mengurangkan berat kenderaan sehingga kira-kira 30 kg berbanding BMW M2 standard.
Jentera ini dikuasakan enjin 3.0-liter enam silinder sebaris M TwinPower Turbo (S58) yang menghasilkan 530 hp dan 650 Nm, dipadankan bersama transmisi 8-kelajuan Steptronic Sport yang menghantar kuasa ke roda belakang.

BMW mendakwa M2 CS mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 302 km/j menerusi pakej M Driver’s Package.
Di ruang kabin pula, BMW melengkapkannya dengan tempat duduk M Carbon Bucket Seats, stereng M Alcantara, sistem bunyi Harman Kardon 464W, BMW Live Cockpit Professional serta pelbagai fungsi digital seperti BMW Digital Key dan M Drive Professional.

BMW M3 Touring Competition M xDrive Pertama Di Malaysia
Turut membuat kemunculan sulung ialah BMW M3 Touring Competition M xDrive, model wagon berprestasi tinggi pertama BMW M3 yang ditawarkan di negara ini.
Ia menggunakan enjin 3.0-liter enam silinder M TwinPower Turbo yang menghasilkan 530 hp dan 650 Nm, dipadankan bersama transmisi 8-kelajuan Steptronic Sport serta sistem pacuan semua roda M xDrive.

Prestasi yang ditawarkan membolehkan model ini memecut 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, sambil menawarkan ruang but seluas 500 liter yang boleh diperluaskan sehingga 1,510 liter, menjadikannya lebih praktikal untuk kegunaan harian.
BMW turut melengkapkan model ini dengan Adaptive M Suspension, Driving Assistant Professional, Parking Assistant Plus, BMW Live Cockpit Professional serta sistem audio Harman Kardon 16 pembesar suara.
BMW 218 Gran Coupé M Sport Turut Diperkenalkan
Selain dua model BMW M, BMW Malaysia turut memperkenalkan BMW 218 Gran Coupé M Sport yang menjadi model paling mampu milik dalam barisan BMW M Sport. Model ini ditawarkan dalam kuota awal sebanyak 50 unit sahaja untuk pasaran tempatan.

Pelancarannya memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang mahukan sedan kompak premium dengan pakej M Sport dan reka bentuk yang lebih sporty.
Selain memperkenalkan model-model baharu, BMW Group Malaysia turut menawarkan pelbagai promosi eksklusif sepanjang BMW Clubhouse berlangsung, termasuk tawaran pembiayaan istimewa menerusi BMW Group Financial Services Malaysia serta promosi bagi model-model BMW, MINI dan BMW Motorrad.