Kuala Lumpur Fashion Week 2026 Kembali – Peragaan Akan Bermula 3 Hingga 9 Ogos

July 17, 2026
Fesyen

Lina Rosli

Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) bakal kembali untuk edisi ke-14 bermula 3 hingga 9 Ogos 2026 di Esplanade, KLCC Park.

Tahun ini, acara fesyen tahunan itu tampil dengan tema Destination: Home Ground yang meraikan identiti Malaysia menerusi hasil karya lebih 50 pereka dan jenama tempatan.

Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, KLFW 2026 sekali lagi berlangsung dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selain kerjasama Suria KLCC dan KLCC (Holdings) Sdn Bhd yang menjadikan kawasan tengah bandar Kuala Lumpur sebagai hab fesyen tempatan.

Ruang pertunjukan KLFW tahun ini turut diberikan wajah baharu yang diinspirasikan daripada corak batik arkib Yayasan Sabah. Pentas serba putih dengan susun atur berbentuk jam pasir menawarkan pengalaman lebih dekat kepada penonton menerusi gabungan tempat duduk barisan hadapan, bleacher dan zon tontonan.

Paparan LED bersaiz besar turut disediakan bagi membolehkan pengunjung di sekitar Suria KLCC mengikuti pertunjukan fesyen secara langsung.

Selain pertunjukan di pentas utama, KLFW 2026 turut memperluaskan pengalaman pengunjung melalui pelbagai aktiviti di sekitar Suria KLCC.

Antaranya termasuk pameran gaya oleh pelajar fesyen di Isetan KLCC, pameran visual kreatif bersama MOCCONA serta ruang pop-up Jom Malaysia yang menghimpunkan pelbagai jenama tempatan.

Tahun ini juga menyaksikan beberapa jenama membuat penampilan sulung di pentas KLFW, termasuk PLAZÄ, NanaLyana, Asyraf Arrif, inisaya by Jeffery Goh, 99%ANGEL, CDH dan EMRI. Turut membuat penampilan ialah Sharifah Kirana, manakala pereka kreatif ManChien akan memperkenalkan label baharunya, Super Structure.

Dalam masa sama, jenama terkenal seperti Rizman Ruzaini dan Fiziwoo kembali dengan dua pertunjukan masing-masing. Rizman Ruzaini akan mengadakan dua pertunjukan berturut-turut, manakala Fiziwoo turut menampilkan koleksi pakaian lelaki di bawah label Woo Brothers.

KLFW 2026 turut mengetengahkan kolaborasi yang mengangkat warisan tempatan seperti kerjasama antara studio budaya material MUNI dan pereka Jeff Yeong, selain penampilan sulung perusahaan sosial Tanoti.

KPDN juga menghidupkan semula segmen Fashion Forward Batik Malaysia yang menghimpunkan 30 rekaan daripada 10 pereka tempatan menggunakan fabrik batik dari Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Orang ramai boleh mendapatkan jadual penuh pertunjukan, senarai pereka serta maklumat terkini mengenai KLFW 2026 menerusi laman web rasmi Kuala Lumpur Fashion Week atau platform media sosial rasmi acara tersebut.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd