GWM Malaysia Bekerjasama Dengan Touch ‘n Go Untuk Demonstrasi Teknologi Titan Flow
Lina Rosli
Seiring perkembangan landskap mobiliti di Malaysia, pengalaman pemanduan kini bukan sekadar bergantung kepada kenderaan semata-mata, malah turut dipacu oleh integrasi teknologi digital dan infrastruktur yang lebih pintar.
Selaras dengan perkembangan ini, GWM Malaysia bekerjasama dengan Touch ’n Go bagi memperlihatkan demonstrasi teknologi Titan Flow melalui pengalaman pemanduan di lorong Enhanced RFID di Plaza Tol AKLEH Dato Keramat.

Secara umumnya, teknologi Titan Flow ialah teknologi kutipan tol generasi baharu yang dibangunkan oleh Touch ‘n Go untuk menjadikan perjalanan melalui plaza tol lebih lancar, pantas dan tepat tanpa perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan secara ketara. Ia menggabungkan beberapa teknologi seperti RFID, Automatic Number Plate Recognition (ANPR), kecerdasan buatan, LiDAR dan juga pembelajaran mesin.
Melalui gabungan teknologi ini, ia boleh menjadi tapak untuk pembangunan sistem Multi-Lane Free Flow (MLFF) pada masa hadapan.
Selari dengan pengenalan teknologi baharu ini juga, GWM Malaysia menyediakan barisan kenderaan daripada portfolio pelbagai kategori dan rangkaian kuasa yang merangkumi kenderaan elektrik (EV), hibrid elektrik (HEV), hibrid plug-in (PHEV) serta enjin pembakaran dalaman (ICE) – bagi tujuan untuk melihat bagaimana teknologi mobiliti yang saling berhubung dapat menjadikan pengalaman pemanduan lebih lancar, mudah dan efisien.