CAFé by 7-Eleven Kini Miliki 1,000 Cawangan Di Malaysia
Lina Rosli
CAFÉ by 7-Eleven terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen makanan dan minuman segera apabila kini mencapai 1,000 cawangan di seluruh Malaysia.
Pencapaian ini diraikan menerusi pembukaan cawangan ke-1,000 di KLIA Terminal 1, Aras 5, sekaligus menandakan perkembangan pesat jenama tersebut sejak diperkenalkan beberapa tahun lalu.

Untuk pengetahuan anda, CAFÉ by 7-Eleven bermula pada tahun 2021 menerusi pembukaan cawangan pertamanya di Menara TA One, Kuala Lumpur. Konsep ini diperkenalkan bagi menawarkan pengalaman menikmati kopi dan makanan yang lebih mudah, pantas serta mampu milik kepada pelanggan yang sentiasa bergerak.
Setahun kemudian, pada Jun 2022, 7-Eleven Malaysia memperkenalkan kedai konsep mercu pertama di Bandar Puteri, Puchong. Cawangan dua tingkat ini bukan sekadar menggabungkan kedai serbaneka dan kafe dalam satu ruang, malah turut menampilkan pengalaman membeli-belah yang lebih moden dengan ruang makan yang selesa.

Konsep Grab-and-Go Yang Memudahkan Pelanggan
CAFÉ by 7-Eleven mengetengahkan konsep “grab-and-go“, membolehkan pelanggan membeli makanan dan minuman dengan cepat tanpa perlu menunggu lama. Konsep ini sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan secawan kopi sebelum memulakan hari, berehat seketika ketika bekerja atau mengisi perut ketika dalam perjalanan.
Antara tarikan utama CAFÉ by 7-Eleven ialah kopi yang menggunakan biji kopi yang dikisar segar (bean-to-cup).

Pengguna boleh menikmati pelbagai pilihan minuman berasaskan espresso seperti Americano, Latte dan Cappuccino pada harga yang berpatutan – dengan kebanyakan pilihan bermula sekitar RM5.90 secawan.
Selain kopi, CAFÉ by 7-Eleven turut menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman lain seperti sandwic, onigiri, pastri, makanan sedia dimakan, produk 7Bites On-The-Go, minuman sejuk serta aiskrim soft serve.
Kesemua pilihan ini direka untuk memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan hidangan ringkas tetapi berkualiti.

Bagi meraikan pencapaian terbaharu ini, 7-Eleven Malaysia membuka cawangan CAFÉ by 7-Eleven yang ke-1,000 di KLIA Terminal 1. Lokasi ini dipilih bagi memenuhi keperluan para pengembara tempatan dan antarabangsa yang ingin menikmati kopi atau makanan sebelum memulakan perjalanan.
Pencapaian ini bukan sahaja menggambarkan pertumbuhan pesat CAFÉ by 7-Eleven, malah menunjukkan bagaimana jenama tersebut semakin menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat Malaysia.
Sama ada untuk secawan kopi pada waktu pagi, snek ketika bekerja atau hidangan ringkas sebelum menaiki penerbangan, CAFÉ by 7-Eleven kini lebih mudah diakses melalui rangkaiannya yang semakin meluas di seluruh negara.