AEON BiG Kini Di foodpanda – Tawar Lebih 16,000 Produk Pada Harga Sama Seperti Di Cawangan
Lina Rosli
Khusus untuk pengguna foodpanda Malaysia, tahukah anda yang mana kini anda boleh membeli barangan runcit daripada AEON BiG secara atas talian menerusi aplikasi foodpanda?
Menerusi kerjasama ini, pengguna boleh memilih daripada lebih 16,000 produk termasuk barangan dapur, makanan segar dan keperluan harian yang akan dihantar dalam tempoh kurang daripada satu jam.

Menariknya, semua produk yang ditawarkan di foodpanda dijual pada harga yang sama seperti di cawangan AEON BiG, membolehkan pengguna menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih mudah tanpa perlu membayar harga yang lebih tinggi.
Menurut foodpanda, perkhidmatan ini merangkumi 21 cawangan AEON BiG di seluruh Malaysia.

Pengguna boleh membeli pelbagai kategori produk seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar, daging, makanan laut, produk tenusu, makanan sejuk beku, minuman, snek, barangan dapur serta pelbagai keperluan isi rumah terus melalui aplikasi foodpanda.
Selain jenama terkenal, pengguna turut boleh mendapatkan produk jenama dalaman AEON BiG seperti BiG Value dan Living Choice, yang terkenal dengan penawaran produk berkualiti pada harga berpatutan.

Bagi meraikan pelancaran ini, foodpanda dan AEON BiG menawarkan diskaun sehingga 50% bagi produk terpilih bermula 24 Julai hingga 13 Ogos 2026.
Pengguna juga berpeluang menyertai kempen ‘Order & Win’ untuk memenangi hadiah mingguan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10,000.

Selain itu, maskot foodpanda, Pau-Pau, akan membuat penampilan khas menerusi aktiviti ‘Pau-Pau’s Grocery Run’ di tiga lokasi iaitu AEON BiG Subang Jaya, Mid Valley dan Wangsa Maju. Pengunjung berpeluang mendapatkan baucar diskaun sehingga RM15 serta penghantaran percuma, selagi stok masih ada.
Bagi pengguna yang kerap membeli barangan runcit, langganan pandapro turut ditawarkan bagi membantu mereka menikmati penjimatan tambahan termasuk manfaat penghantaran.