Honda Malaysia Hadir Dengan Kilang Berkuasa Solar Di Melaka

July 27, 2026
Automotif

Lina Rosli

Honda Malaysia terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian apabila menyiapkan pemasangan sistem tenaga solar pertama di Honda Melaka Plant di Alor Gajah, Melaka.

Projek bernilai RM14 juta itu menjadi satu lagi langkah penting syarikat ke arah mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050 – yang mana ia melibatkan pemasangan kira-kira 8,960 panel solar di bumbung kilang Honda Melaka dengan kapasiti keseluruhan melebihi 5.6 megawatt (MW).

Melalui pemasangan ini, Honda Malaysia menjangkakan sistem tersebut mampu menjana sekitar 7,042 megawatt-jam (MWh) tenaga elektrik boleh diperbaharui setiap tahun.

Penggunaan tenaga solar ini dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sebanyak 4,584 tan setahun, bersamaan kira-kira 10% daripada jumlah pelepasan karbon kilang berkenaan.

Antara Yang Pertama Menggunakan Battery Energy Storage System (BESS)

Selain sistem fotovolta solar (Solar PV), Honda Malaysia turut melengkapkan kemudahan ini dengan Battery Energy Storage System (BESS).

Sistem tersebut berfungsi menyimpan lebihan tenaga solar yang dijana pada waktu siang untuk digunakan semula apabila diperlukan, sekaligus meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil.

Honda Malaysia turut memaklumkan bahawa syarikat itu merupakan antara perintis dalam kalangan pengguna elektrik sektor industri di Malaysia yang melaksanakan penggunaan BESS bagi menyokong operasi pengeluaran.

Dalam usaha memperkukuhkan amalan kelestarian, Honda Malaysia turut memperoleh pensijilan Climate and Sustainability Industry Readiness Index (COSIRI) dengan penarafan 3.07 bintang.

Pensijilan ini mengiktiraf usaha syarikat dalam mengintegrasikan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam operasi pembuatan.

Bukan itu sahaja, Honda Malaysia turut akan memperluaskan pemasangan sistem solar ke Gudang Bekalan Alat Ganti di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2027 sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat.

Selain itu, Honda Malaysia turut menggalakkan pengedar-pengedarnya mengamalkan inisiatif mesra alam seperti sistem penuaian air hujan dan pelupusan bateri yang betul.

Sokong Sasaran Neutral Karbon Menjelang 2050

Projek tenaga solar ini selari dengan matlamat global Honda untuk mencapai neutral karbon bagi semua produk dan aktiviti korporat menjelang 2050.

Pada masa sama, Honda Malaysia turut memperluaskan penawaran model e:HEV di pasaran tempatan sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan penyelesaian mobiliti yang lebih cekap tenaga dan mesra alam.

Pelaksanaan projek ini turut mendapat sokongan Kerajaan Malaysia menerusi insentif Green Investment Tax Allowance (GITA), yang membantu mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam sektor perindustrian negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd