Maje SS26 Memperlihatkan Koleksi Riviera Stripes Dan Milpli
Lina Rosli
Tidak ketinggalan, Maje turut memperkenalkan koleksi Spring/Summer 2026 (SS26) yang mengetengahkan dua tema utama, Riviera Stripes dan Milpli, menggabungkan gaya santai musim panas dengan rekaan moden yang elegan.

Riviera Stripes Tampilkan Gaya Maritim Yang Lebih Kontemporari
Bagi musim ini, Maje menampilkan elemen jalur klasik atau stripes yang diinspirasikan daripada gaya maritim di Riviera.
Rekaan tersebut diterjemahkan ke dalam pelbagai helaian seperti kemeja bersulam, seluar pendek, gaun polo, bodysuit dan gaun rajutan kait yang sesuai untuk penampilan santai mahupun percutian.

Koleksi ini turut menggunakan fabrik campuran linen yang ringan serta siluet longgar bagi memberikan keselesaan sepanjang cuaca panas. Selain itu, inspirasi gaya marinière turut diterapkan menerusi padanan jalur grafik, potongan moden dan perincian yang minimalis.
Antara item yang ditawarkan termasuk topi kapas (RM550), baju polo berjalur (RM950), kemeja berjalur bersulam (RM1,490), seluar layar campuran linen (RM1,390), seluar pendek Bermuda (RM1,190) dan kasut suede boat shoes (RM1,790).
Milpli Kembali Dengan Rekaan Beg Baharu
Turut menjadi tumpuan ialah koleksi beg Milpli, yang pertama kali diperkenalkan pada musim sejuk 2025.
Menurut Maje, koleksi ini mendapat inspirasi daripada cara pengasasnya, Judith Milgrom, mengendalikan beg kulit di atelier jenama tersebut. Lipatan dan kelembutan kulit menjadi asas kepada rekaan Milpli yang menampilkan tekstur berlipat serta identiti tersendiri.

Untuk musim panas 2026, Maje memperluaskan siri Milpli dengan dua model baharu iaitu Gazette dan Large Clutch, melengkapkan koleksi sedia ada yang terkenal dengan pemegang berbentuk huruf “M”, jahitan berganda di bahagian tengah serta penggunaan kulit yang lembut.
Direka untuk wanita moden yang aktif, koleksi Milpli menggabungkan fungsi dan gaya dalam satu aksesori yang sesuai digunakan dari siang hingga ke malam.

Antara pilihan yang ditawarkan ialah Suede Milpli Gazette Bag (RM1,790), Suede Milpli Tote Bag (RM2,390), Leather & Suede Milpli Tote Bag (RM2,390), Metallic Leather Milpli Mini Clutch (RM1,390), Bouclé Effect Clutch Bag (RM1,690) serta Sequins Milpli Mini Clutch (RM1,490).
Menerusi koleksi SS26, Maje terus mengetengahkan estetika feminin yang sinonim dengan jenama itu menerusi gabungan inspirasi Riviera, potongan moden dan aksesori yang versatil untuk pelbagai gaya sepanjang musim panas.