Koleksi SkechVibe x Cloakwork Menampilkan Rekaan Seni Jalanan Edisi Terhad

July 28, 2026
Fesyen

Lina Rosli

Skechers Malaysia memperkenalkan koleksi fesyen edisi terhad SkechVibe x Cloakwork, hasil kerjasama bersama artis grafiti dan ilustrator tempatan, Cloakwork.

Koleksi ini menampilkan rekaan yang diinspirasikan daripada seni jalanan menerusi rangkaian baju-T dan beg tote, sekaligus memberi peluang kepada peminat fesyen menampilkan gaya yang lebih kreatif dan unik.

Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada inisiatif SkechVibe, platform yang diwujudkan oleh Skechers bagi mengetengahkan bakat kreatif melalui rekaan yang boleh dipakai setiap hari.

Menerusi kolaborasi ini, gaya visual Cloakwork yang terkenal dengan warna-warna terang, karakter unik dan elemen grafiti diterjemahkan ke dalam koleksi yang menonjolkan ekspresi diri serta kreativiti.

Bagi yang tidak mengetahui, Cloakwork memulakan perjalanan seninya lebih sedekad lalu sebagai pelukis grafiti sebelum mengembangkan bakat dalam bidang ilustrasi dan pemasangan seni awam di dalam serta luar negara. Identiti visualnya yang diinspirasikan daripada budaya jalanan menjadikan beliau antara artis tempatan yang mempunyai gaya tersendiri.

Untuk koleksi SkechVibe x Cloakwork ini, ia merangkumi empat rekaan baju-T uniseks serta satu rekaan beg tote, dengan setiap satunya ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Snow White dan Black Beauty dan dijual pada harga bermula RM139.

Setiap rekaan membawa tema yang berbeza. Antaranya termasuk ilustrasi suasana santai di pantai menerusi rekaan SKECHERS SUMMER CLUB, rekaan yang diinspirasikan daripada suasana jalanan bandar menggunakan skuter penghantaran serta elemen grafiti, dan ilustrasi dua maskot kasut yang menari dalam suasana penuh warna serta muzik.

Sementara itu, beg tote yang menjadi produk utama koleksi ini menampilkan potret kartun Cloakwork sedang menghasilkan grafiti pada dinding berbentuk logo Skechers, sekali gus melengkapkan keseluruhan koleksi yang diinspirasikan daripada seni jalanan.

Koleksi SkechVibe x Cloakwork kini ditawarkan untuk tempoh terhad di cawangan terpilih Skechers termasuk 1 Utama Shopping Centre, Pavilion Bukit Jalil, Pavilion Kuala Lumpur, Suria KLCC, The Exchange TRX dan beberapa lokasi lain di seluruh negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd