Neue Klasse – Sejarah BMW Memasuki Era Baharu Selepas Lebih 60 Tahun

July 30, 2026
Automotif

Lina Rosli

Dalam sejarah lebih 100 tahun BMW, nama Neue Klasse hanya pernah digunakan sebanyak dua kali.

Setiap kali ia diperkenalkan, ia bukan sekadar merujuk kepada model baharu, tetapi melambangkan permulaan era baharu yang membentuk hala tuju jenama automotif tersebut.

Dalam bahasa Jerman, Neue Klasse bermaksud “Kelas Baharu”. Namun bagi BMW, nama ini membawa makna yang jauh lebih besar. Ia mencerminkan perubahan menyeluruh daripada segi reka bentuk, teknologi, kejuruteraan dan falsafah pemanduan yang menjadi identiti jenama itu sejak sekian lama.

Segalanya bermula pada Frankfurt International Motor Show 1961 apabila BMW memperkenalkan BMW 1500. Ketika itu, BMW hanya menawarkan dua kategori kenderaan yang sangat berbeza iaitu model mewah seperti BMW 501, BMW 502 dan BMW 503, serta kereta mikro seperti BMW Isetta, BMW 600 dan BMW 700.

Kemunculan BMW 1500 mengubah keadaan tersebut. Model ini direka oleh Ketua Pereka BMW, Wilhelm Hofmeister bersama pereka Itali Giovanni Michelotti, model itu tampil dengan reka bentuk yang lebih moden, ringkas dan aerodinamik.

BMW turut mengekalkan identiti double kidney grille, selain memperkenalkan satu elemen reka bentuk baharu yang kemudian menjadi simbol jenama itu iaitu Hofmeister kink pada tiang C.

Dari sudut kejuruteraan pula, BMW 1500 hadir dengan enjin empat silinder baharu, sistem suspensi bebas dan struktur badan jenis unit-body, sekaligus menjadikannya antara sedan paling moden pada zamannya.

Sambutan terhadap BMW 1500 sangat memberangsangkan sehingga BMW terpaksa membina kemudahan pengeluaran baharu di Munich serta menambah kira-kira 3,000 tenaga kerja bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat – dan model itu mula dipasarkan pada tahun 1962.

Menariknya, nama Neue Klasse hanya digunakan secara rasmi pada tahun 1963 apabila BMW memperkenalkan model BMW 1800.

Ketika itu, Ahli Lembaga Pengarah BMW bagi bahagian jualan, Paul Hahnemann, merujuk keseluruhan rangkaian sedan tersebut sebagai “kelas baharu” BMW sebelum istilah itu digunakan dalam bahan pemasaran rasmi syarikat.

Melahirkan Asas BMW Moden

Selepas kejayaan BMW 1500, BMW terus mengembangkan keluarga Neue Klasse menerusi pengenalan model BMW 1600, BMW 1800 dan BMW 2000.

Kesemua model ini berkongsi falsafah yang sama iaitu menawarkan sebuah sedan sport yang praktikal untuk kegunaan harian tanpa mengorbankan keseronokan pemanduan.

Rangkaian Neue Klasse bukan sahaja membuka segmen baharu, malah menjadi asas kepada identiti BMW moden. Ia memperkenalkan konsep sedan sport yang menggabungkan prestasi, pengendalian dan keselesaan, selain menjadi permulaan kepada slogan ikonik BMW, “Aus Freude am Fahren” atau “For the Pleasure of Driving”.

Kejayaan komersial Neue Klasse turut mengubah kedudukan BMW di peringkat global.

Antara tahun 1960 hingga 1970, jualan BMW meningkat hampir tiga kali ganda, manakala hasil jualan meningkat lebih tujuh kali ganda.

Secara keseluruhan, hampir 340,000 unit sedan Neue Klasse dihasilkan antara tahun 1962 hingga 1972.

BMW 2002 Jadi Antara Model Paling Ikonik

Pada tahun 1966, BMW memperkenalkan model dua pintu berasaskan BMW 1600 sebelum melancarkan BMW 2002 di bawah siri 02 Series pada tahun 1968.

BMW 2002 menjadi antara model paling penting dalam sejarah syarikat kerana berjaya membina reputasi BMW di pasaran antarabangsa.

Di Malaysia pula, BMW 2002 dibawa masuk melalui import persendirian sebelum BMW mempunyai operasi rasmi di negara ini. Model tersebut menjadi antara sebab ramai rakyat Malaysia mula mengenali jenama BMW, sekali gus meletakkan asas kepada populariti pengeluar automotif Jerman itu di pasaran tempatan.

Menjelang tamat pengeluarannya pada tahun 1977, lebih 825,000 unit BMW 02 Series berjaya dihasilkan.

Asal Usul BMW 3 Series dan BMW 5 Series

Warisan Neue Klasse diteruskan menerusi pengenalan BMW 5 Series pada tahun 1972 sebagai pengganti kepada sedan Neue Klasse, diikuti BMW 3 Series pada tahun 1975 yang dibangunkan berasaskan kejayaan BMW 02 Series.

Sehingga hari ini, kedua-dua model tersebut terus menjadi antara model paling penting dalam portfolio BMW – dan ini secara tidak langsung membuktikan bagaimana falsafah Neue Klasse masih menjadi asas kepada pembangunan jenama itu.

Neue Klasse Kembali Selepas Lebih Lima Dekad

Selepas lebih 50 tahun tidak digunakan, BMW menghidupkan semula nama Neue Klasse pada Persidangan Tahunan BMW Group 2021.

Kali ini, Neue Klasse bukan sekadar mewakili sebuah model, tetapi platform baharu yang bakal membentuk keseluruhan masa depan BMW.

Menjelang tahun 2027, BMW merancang memperkenalkan lebih 40 model baharu dan model yang dipertingkatkan berasaskan falsafah Neue Klasse.

Era baharu ini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu elektrifikasi, pendigitalan dan ekonomi kitaran (circular economy), sambil mengekalkan pendekatan Technology Openness bagi memastikan BMW mampu memenuhi pelbagai keperluan mobiliti pada masa hadapan.

Untuk pasaran tempatan, BMW Group Malaysia dijangka memperkenalkan model pertama daripada keluarga Neue Klasse pada 6 Ogos 2026, sekaligus menandakan bermulanya era baharu BMW di Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd