Mengapa Makanan Tertentu Membuatkan Kita Berasa Lebih Tenang?

July 31, 2026
fakta menarik

Lina Rosli

Pernahkah anda tiba-tiba menginginkan semangkuk mi segera, aiskrim atau coklat selepas melalui hari yang meletihkan? Bagi sesetengah orang, makanan tertentu mampu memberikan rasa lebih tenang ketika berdepan tekanan atau emosi yang sukar.

Makanan seperti ini sering dikenali sebagai makanan selesa, iaitu makanan yang dikaitkan dengan rasa selesa dan ketenangan.

Menurut pakar, keinginan terhadap makanan selesa bukan sekadar disebabkan rasa lapar. Sebaliknya, ia mempunyai kaitan dengan cara otak bertindak balas terhadap tekanan, emosi dan pengalaman hidup seseorang.

Otak Mencari Cara Paling Cepat Mengurangkan Tekanan

Menurut pakar, secara umumnya, keinginan terhadap makanan selesa, sama ada ketika sedih, marah atau kecewa, berkait rapat dengan sistem ganjaran dan sistem tekanan dalam otak.

Makanan yang tinggi kandungan gula, lemak atau kedua-duanya boleh merangsang pusat ganjaran dalam otak melalui pembebasan dopamin, iaitu bahan kimia yang dikaitkan dengan rasa seronok.

Pada masa sama, apabila seseorang mengalami tekanan, paras hormon kortisol turut meningkat, sekaligus meningkatkan keinginan terhadap makanan yang tinggi kalori.

Disebabkan itu, ramai cenderung memilih makanan seperti coklat, kerepek, mi segera atau aiskrim ketika berdepan situasi yang mencetuskan tekanan emosi.

Selain faktor biologi, pengalaman hidup juga memainkan peranan dalam menentukan makanan selesa seseorang.

Menurut pakar, banyak makanan selesa mempunyai kaitan dengan kenangan zaman kanak-kanak atau pengalaman ketika dijaga oleh ahli keluarga. Sebagai contoh, seseorang mungkin mengingati sup ayam yang disediakan oleh ibu ketika demam, lalu mengidam makanan yang sama apabila tidak sihat atau berasa kurang selesa.

Keinginan tersebut bukan sahaja dipengaruhi oleh rasa makanan itu sendiri, tetapi juga emosi dan kenangan yang dikaitkan dengannya.

Adakah Makanan Selesa Benar-Benar Membantu Mengurus Suasana Hati?

Makanan selesa sememangnya boleh membantu mengurangkan rasa tidak selesa atau memperbaiki mood (suasana hati) buat sementara waktu. Namun, kesan tersebut biasanya tidak berkekalan.

Menurut pakar, jika seseorang terlalu bergantung kepada makanan untuk menguruskan tekanan, ia boleh mewujudkan kitaran yang kurang sihat. Selepas makan, rasa bersalah atau kecewa mungkin timbul, sekaligus menyebabkan seseorang kembali mengidam makanan yang sama apabila berdepan tekanan pada masa akan datang.

Dalam jangka panjang, tabiat ini berpotensi meningkatkan risiko gangguan metabolik, penyakit kardiovaskular serta mewujudkan hubungan yang kurang sihat dengan makanan.

Pakar turut menjelaskan bahawa apabila seseorang terlalu kerap bergantung kepada makanan selesa, otak juga boleh menjadi kurang sensitif terhadap perkara lain yang sebelum ini memberikan kegembiraan. Akibatnya, individu tersebut mungkin memerlukan kuantiti makanan yang lebih banyak untuk memperoleh rasa selesa yang sama.

Bagaimana Menguruskan Keinginan Terhadap Makanan Selesa?

Mengidam makanan selesa sekali-sekala adalah perkara yang normal. Namun, pakar menyarankan supaya makanan tidak dijadikan satu-satunya cara untuk menguruskan tekanan.

Antara langkah yang boleh dilakukan ialah mengenal pasti keperluan sebenar sebelum mencapai makanan tersebut. Ada kalanya apa yang diperlukan bukanlah makanan, tetapi rehat, tidur yang mencukupi, sokongan emosi atau peluang untuk berinteraksi dengan orang lain.

Pakar juga mencadangkan teknik yang dikenali sebagai urge surfing, iaitu mengakui kehadiran keinginan tersebut tanpa terus bertindak. Keinginan itu diibaratkan seperti ombak yang akan datang dan akhirnya reda jika diberikan sedikit masa.

Selain itu, individu digalakkan membina lebih banyak cara untuk menguruskan tekanan seperti mendapatkan tidur yang berkualiti, melakukan aktiviti fizikal secara berkala, mengamalkan pemakanan seimbang serta mengenal pasti punca sebenar yang mencetuskan keinginan terhadap makanan selesa.

Jika emosi masih sukar dikawal, beberapa teknik seperti menjauhkan diri daripada rangsangan makanan, membasuh muka dengan air sejuk atau melakukan teknik penenangan diri sebelum membuat keputusan untuk makan juga boleh membantu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd