UNIQLO Bakal Hadir Dengan Koleksi Hijab Pertama Pada 17 Ogos – Harga Bermula RM59.90
Lina Rosli
UNIQLO Malaysia baru-baru ini mula mengusik pelancaran koleksi hijab pertamanya di Malaysia menerusi papan iklan yang dipasang di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
Menurut UNIQLO, koleksi hijab tersebut akan dilancarkan secara rasmi pada 17 Ogos 2026.

Menerusi koleksi sulung ini, jenama itu bakal memperkenalkan tiga pilihan hijab yang menggunakan fabrik berbeza bagi memenuhi keperluan gaya hidup, keselesaan dan cita rasa pengguna.
Antara pilihan yang ditawarkan ialah AIRism UV Protection Hijab, Georgette Hijab dan Satin Hijab. Setiap satu direka untuk memberikan pengalaman pemakaian yang berbeza mengikut rutin harian dan pilihan individu.

Koleksi ini turut dibangunkan khusus untuk cuaca tropika serta gaya pemakaian harian di Malaysia, dengan penekanan terhadap ciri seperti pengudaraan yang baik, keselesaan dan versatiliti tanpa mengabaikan aspek gaya.
Bagi anday ang berminat, koleksi hijab pertama UNIQLO ini akan mula dijual pada 17 Ogos 2026 pada harga RM59.90 sehelai.
Ia boleh didapati di semua cawangan UNIQLO di Malaysia serta menerusi laman web rasmi UNIQLO Malaysia.