BOLON Eyewear Tampil Buat Kali Pertama Di KLFW 2026 Bersama Kit Woo
Lina Rosli
BOLON Eyewear mencipta sejarah apabila membuat penampilan sulung di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 menerusi kerjasama bersama pereka fesyen tempatan, Kit Woo.
Pada acara tersebut, jenama kaca mata ini turut memperkenalkan koleksi Fall/Winter 2026 buat kali pertama di peringkat global, menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelancarannya.

Berlangsung di Esplanade, KLCC Park, pertunjukan fesyen itu menyaksikan koleksi Ready-to-Wear 2026/2027 oleh Kit Woo dipadankan dengan rangkaian kaca mata BOLON. Gabungan siluet moden, rekaan berstruktur serta aksesori kaca mata yang berani menyerlahkan gaya yang menekankan keyakinan diri dan ekspresi peribadi.
Bagi yang tidak mengetahui, Kit Woo dikenali menerusi rekaan yang sering mengetengahkan siluet dekonstruksi dan perincian yang moden.

Kerjasama bersama BOLON pula dilihat melengkapkan koleksi tersebut dengan sentuhan aksesori yang bukan sahaja berfungsi sebagai pelengkap gaya, malah menjadi sebahagian daripada identiti setiap penampilan di pentas peragaan.
Pelbagai pilihan bingkai optikal dan cermin mata hitam daripada BOLON digayakan sepanjang pertunjukan, memberikan karakter yang berbeza kepada setiap rekaan.
BOLON Angkat Gaya Berani dan Ekspresi Diri
Menerusi penampilan sulung di KLFW 2026, BOLON membawa mesej bahawa fesyen tidak semestinya mengikut trend semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada setiap individu untuk menampilkan gaya yang mencerminkan diri sendiri.


Kempen #BoldLikeYou yang diperkenalkan jenama itu menggalakkan pemakai memilih bingkai yang bukan sahaja sesuai dengan wajah, malah mampu meningkatkan keyakinan serta menjadi sebahagian daripada identiti peribadi.
BOLON turut menekankan aspek kualiti dalam setiap produknya. Setiap bingkai dihasilkan di fasiliti milik syarikat sendiri dan melalui 67 proses pemeriksaan kualiti bagi memastikan keseimbangan antara reka bentuk, keselesaan dan ketahanan.

Sebagai Rakan Kaca Mata Rasmi Kuala Lumpur Fashion Week 2026, penyertaan BOLON bukan sekadar tertumpu kepada pertunjukan fesyen semata-mata, malah menjadi langkah awal jenama itu untuk memperkukuhkan kehadirannya dalam industri fesyen Malaysia.