BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro, EV Neue Klasse Pertama BMW Tiba Di Malaysia

August 7, 2026
Automotif

Lina Rosli

BMW Malaysia secara rasmi memperkenalkan BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu, model pertama daripada keluarga Neue Klasse yang memasuki pasaran Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel, pengenalan BMW iX3 bukan sekadar pelancaran model baharu, tetapi menjadi titik permulaan kepada generasi baharu BMW yang dibangunkan dengan teknologi, reka bentuk dan pengalaman pemanduan yang serba baharu.

Platform Neue Klasse Dengan Teknologi BMW eDrive Generasi Keenam

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro dibina menggunakan platform Neue Klasse dan menjadi model pertama yang menggunakan teknologi BMW eDrive Generasi Keenam berasaskan seni bina 800 volt.

Ia dipadankan dengan bateri berkapasiti 108.7 kWh serta dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan 345 kW (469 hp) dan tork maksimum 645 Nm. Kuasa tersebut disalurkan menerusi sistem pacuan semua roda BMW xDrive yang masih mengekalkan karakter pemanduan pacuan belakang yang sinonim dengan BMW.

Turut diperkenalkan ialah sistem Heart of Joy, unit kawalan baharu yang menguruskan kuasa pacuan, stereng dan sistem membrek dengan kadar respons sehingga 10 kali lebih pantas berbanding sistem konvensional. Hasilnya, tindak balas kenderaan terasa lebih semula jadi dan lebih tepat mengikut input pemandu.

Jarak Sehingga 805km, Pengecasan DC 400kW

Salah satu kelebihan utama BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro ialah jarak pemanduan sehingga 805 kilometer (WLTP) dengan penggunaan tenaga sekitar 15.1 hingga 17.9 kWh bagi setiap 100 kilometer.

Model ini turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 400kW, membolehkan tenaga yang mencukupi untuk perjalanan sejauh 372 kilometer ditambah dalam tempoh hanya 10 minit.

BMW turut melengkapkan model ini dengan sistem pengecasan pintar yang akan menyediakan suhu bateri secara automatik sebelum tiba di stesen pengecas bagi memastikan proses pengecasan berlangsung pada kelajuan maksimum.

Kokpit Baharu Dengan BMW Panoramic Vision

Di bahagian dalaman, BMW memperkenalkan pengalaman digital baharu menerusi BMW Panoramic iDrive.

Ciri paling menonjol ialah BMW Panoramic Vision, paparan bersaiz 43.3 inci yang merentasi hampir keseluruhan lebar cermin hadapan bagi memaparkan maklumat pemanduan penting tanpa mengganggu fokus pemandu.

Ia turut digandingkan dengan paparan tengah 17.9 inci, BMW Operating System X, serta BMW Intelligent Personal Assistant generasi baharu yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memahami tabiat pemandu dan menawarkan fungsi secara lebih proaktif.

Reka Bentuk Minimalis Dengan Identiti Neue Klasse

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro menampilkan bahasa reka bentuk baharu Neue Klasse yang lebih ringkas dan moden.

Bahagian hadapan menggunakan kidney grille menegak BMW Iconic Glow, dipadankan dengan bampar M Sport dan pemegang pintu rata yang disepadukan kemas ke dalam badan kenderaan.

Di belakang, lampu LED baharu bersama rim aloi 22 inci M Y-Spoke melengkapkan penampilan SUV elektrik premium ini.

Kabin Lebih Luas dan Premium

Ruang dalaman menawarkan suasana yang lebih moden dengan kemasan tekstil premium, pencahayaan ambien serta tempat duduk M Sport yang dilengkapi fungsi urutan, pemanas tempat duduk dan pelarasan elektrik.

Model ini turut menawarkan sistem audio Harman Kardon dengan 13 pembesar suara, bumbung panoramik kaca Climate Comfort serta ruang simpanan seluas 520 liter, yang boleh diperluaskan sehingga 1,750 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Menariknya, buat pertama kali pada sebuah model BMW, ruang simpanan tambahan berkapasiti 58 liter turut disediakan di bawah bonet hadapan.

Lengkap Dengan Pelbagai Sistem Bantuan Pemandu

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro turut dilengkapi pelbagai teknologi bantuan pemanduan seperti Driving Assistant Plus, Parking Assistant Professional, kamera 360 darjah serta fungsi parkir jauh menggunakan telefon pintar.

Dari aspek ketersambungan, model ini menyokong Apple CarPlay, Android Auto, BMW Digital Premium dan BMW Digital Key Plus, yang membolehkan telefon pintar digunakan sebagai kunci kenderaan.

Harga BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu di Malaysia

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Baharu dijual pada harga RM378,800 (atas jalan tanpa insurans) termasuk pakej BMW Service & Repair Inclusive.

Model ini akan mula berada di semua bilik pameran pengedar sah BMW di Malaysia bermula 8 Ogos 2026.

Sempena pelancarannya, BMW Group Financial Services Malaysia turut menawarkan promosi khas iaitu penangguhan ansuran selama tiga bulan untuk pelanggan yang menerima penyerahan kenderaan sepanjang tahun 2026.

Pelanggan juga boleh memilih pelan pembiayaan BMW Easy Drive yang menawarkan ansuran bulanan lebih rendah serta nilai masa hadapan kenderaan yang dijamin.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd