Energizer Memperkenalkan Ultimate Child Shield Di Malaysia – Bateri Syiling Yang Cegah Lecur Jika Tertelan
Lina Rosli
Energizer Malaysia memperkenalkan Energizer Ultimate Child Shield, bateri litium berbentuk syiling yang direka khas untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak.
Menurut syarikat itu, ia merupakan satu-satunya bateri litium berbentuk syiling di dunia yang mampu mencegah lecur sekiranya tertelan.

Bateri ini ditawarkan dalam tiga saiz, iaitu 2032, 2025 dan 2016, yang lazimnya digunakan pada pelbagai peranti harian seperti alat kawalan jauh, kunci pintar kenderaan, tag penjejakan dan mainan.
Menurut Energizer, bateri litium berbentuk syiling bersaiz 20 mm boleh mendatangkan risiko kepada kanak-kanak kerana diameternya hampir menyamai saiz esofagus mereka.
Sekiranya tertelan, bateri boleh tersekat di kerongkong dan mula menyebabkan lecur dalaman dalam tempoh seawal 15 minit, manakala kecederaan yang lebih serius boleh berlaku dalam masa beberapa jam.

Lebih membimbangkan, keadaan ini selalunya tidak menunjukkan gejala yang jelas atau mudah disalah anggap sebagai penyakit lain. Oleh itu, pemeriksaan perubatan segera amat penting sekiranya disyaki berlaku insiden tertelan bateri.
Energizer Ultimate Child Shield dibangunkan hasil penyelidikan dan pembangunan selama bertahun-tahun bagi menawarkan lapisan keselamatan tambahan kepada keluarga.
Antara ciri yang diperkenalkan ialah Colour Alert, iaitu teknologi yang akan mewarnakan mulut kepada warna biru apabila bateri bersentuhan dengan air liur. Ciri ini bertujuan memberi petunjuk awal kepada ibu bapa atau penjaga bahawa bateri mungkin telah tertelan supaya tindakan segera dapat diambil.

Selain itu, bateri ini turut dilengkapi dengan salutan pahit tidak toksik bagi mengurangkan kecenderungan kanak-kanak memasukkannya ke dalam mulut. Ia juga dijual dalam pembungkusan kalis kanak-kanak untuk meningkatkan aspek keselamatan.
Bersempena dengan pengenalan ini juga, Energizer Malaysia akan mempamerkan rangkaian bateri ini di TCE Baby Expo yang berlangsung di MITEC dari 2 hingga 4 Oktober 2026, serta di Mid Valley dari 3 hingga 6 Disember 2026.