Bateri EV BMW Terpakai Kini Digunakan Untuk Mengecas Telefon Pintar Di Universiti Malaya

August 11, 2026
EV

Lina Rosli

BMW Group Malaysia dan Universiti Malaya (UM) kini membawa teknologi bateri kenderaan elektrik (EV) ke aplikasi harian menerusi pemasangan stesen pengecasan telefon pintar berkuasa solar di UM Central, Universiti Malaya.

Stesen tersebut menggunakan bateri EV BMW terpakai yang telah melalui proses guna semula atau hayat kedua, sebelum digunakan untuk menyimpan tenaga solar dan membekalkan kuasa kepada peranti pengguna.

Pemasangan ini merupakan aplikasi dunia sebenar pertama hasil kerjasama RE:GENERATE x Universiti Malaya, selepas lebih dua tahun penyelidikan dijalankan di makmal.

Projek ini diketuai Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik dan pelajar PhD dari UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC).

Lokasi stesen pengecasan di UM Central dipilih kerana hentian bas berkenaan digunakan oleh lebih 3,000 pengguna setiap hari, sekaligus membolehkan teknologi tersebut dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti kampus.

Guna Semula Bateri EV BMW Untuk Simpan Tenaga Solar

Stesen ini menggabungkan tiga modul bateri EV BMW yang masing-masing berusia kira-kira 10 tahun dengan panel solar, pengawal pengecas solar, penyongsang fotovoltaik (PV), Sistem Pengurusan Bateri (BMS) dan pengecas USB.

Keseluruhan sistem mempunyai kapasiti 1.5 kWj. Selepas melalui proses pengujian, penggredan dan pengubahsuaian oleh pasukan penyelidik UM, bateri tersebut masih mampu memulihkan sekitar 30 hingga 40 peratus daripada kapasiti asalnya.

Daripada terus dihentikan penggunaannya, bateri dengan kapasiti yang lebih rendah ini digunakan untuk aplikasi yang tidak memerlukan kuasa tinggi seperti mengecas telefon pintar.

Bagi kegunaan pengunjung, stesen ini dilengkapi dengan empat port pengecasan, terdiri daripada tiga port USB-C dan satu port Lightning untuk peranti Apple generasi lama.

Keseluruhan sistem menawarkan output sehingga 200W, dengan maksimum 100W bagi setiap port.

Stesen ini turut dilengkapi perakam data untuk memantau parameter bateri dan corak penggunaannya.

Sekumpulan pelajar terlatih akan memantau serta menyelenggara sistem tersebut, manakala pemeriksaan rutin hanya memerlukan analisis data bateri dan pemeriksaan fizikal secara berkala.

Sistem ini direka untuk beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun, bergantung pada corak penggunaan sebenar, keadaan bateri dan kedalaman nyahcas.

Bateri EV BMW Bakal Melalui Tiga Peringkat Hayat

Menariknya, projek ini turut mengetengahkan konsep penggunaan bateri melalui beberapa peringkat hayat.

Bateri berkapasiti lebih rendah yang digunakan di UM Central kini berada pada peringkat hayat kedua. Berdasarkan tahap degradasinya, ia kurang sesuai untuk digunakan dalam aplikasi hayat ketiga.

Pada masa yang sama, bateri berkapasiti lebih tinggi daripada program yang sama, yang masih mengekalkan sehingga 80 peratus kapasiti asal, akan digunakan untuk projek elektrifikasi luar bandar di Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang.

Bateri tersebut akan digunakan untuk membekalkan akses elektrik luar grid kepada komuniti Semai Orang Asli.

Selepas tamat tempoh penggunaan dalam projek luar bandar itu, pasukan Dr. Tan merancang untuk menggunakan semula bateri berkenaan sebagai stesen pengecasan telefon pintar. Jika direalisasikan, ia akan melengkapkan kitaran tiga peringkat iaitu daripada kenderaan elektrik, kepada kegunaan luar bandar dan seterusnya sebagai pengecas awam.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd