Kenali Coklat Dari Rasa Hingga Tekstur Menerusi Visi ‘Masters of Taste’ Oleh Barry Callebaut
Lina Rosli
Jika anda fikir coklat sekadar rasa manis yang dinikmati dalam bentuk bar, kek atau minuman, sebenarnya dunia coklat jauh lebih menarik daripada itu.
Bagi yang mungkin belum mengenali Barry Callebaut, syarikat ini merupakan antara pengeluar coklat dan penyelesaian koko terkemuka dunia yang telah berada di Malaysia selama lebih 35 tahun.
Sepanjang tempoh tersebut, Barry Callebaut bukan sahaja membangunkan pelbagai produk berasaskan coklat dan koko, tetapi turut memainkan peranan dalam menyokong perkembangan industri makanan tempatan.

Baru-baru ini, Barry Callebaut membawa pengalaman tersebut ke The St. Regis Kuala Lumpur, menerusi acara libat urus pelanggan terbesarnya di Malaysia setakat ini.
Acara yang menghimpunkan hampir 500 pelanggan dan rakan industri ini menjadi ruang untuk mengenali dengan lebih dekat dunia coklat dan koko, daripada proses menghasilkan rasa dan tekstur sehinggalah kepada trend baharu yang mempengaruhi cara kita menikmati coklat hari ini.

Pada acara sama, Barry Callebaut turut memperkenalkan visi ‘Masters of Taste’ di Malaysia, yang menggabungkan kepakaran teknikal dan pemahaman terhadap cita rasa pengguna untuk menghasilkan pengalaman coklat yang lebih menarik.
Jadi, apa sebenarnya yang ada di sebalik secawan minuman coklat, sepotong kek atau sebiji praline yang kita nikmati? Mari kenali dunia coklat bersama Barry Callebaut.
Meneroka Dunia Coklat Menerusi Lapan Zon Pengalaman
Sepanjang acara, para tetamu dibawa meneroka lapan zon pengalaman imersif yang mengetengahkan pelbagai inovasi dan aplikasi coklat serta koko berdasarkan trend pengguna semasa.
Antara pengalaman yang menarik perhatian ialah modul penilaian deria Flavour & Mouthfeel Wheel di bawah konsep Masters of Taste.

Menerusi modul ini, ia membantu individu mengenali coklat dengan lebih terperinci berdasarkan profil rasa dan teksturnya. Ia menunjukkan bahawa pengalaman menikmati coklat bukan sekadar tentang rasa manis, tetapi turut melibatkan aroma, tekstur dan sensasi yang dirasai ketika menikmatinya.
Sebagai contoh, profil Flavour boleh membawa kita kepada nota seperti susu dan krim, kopi serta koko panggang, karamel dan madu, kekacang, malah buah-buahan seperti lemon, strawberi, mangga dan nanas.

Kemudian, aspek Mouthfeel pula melihat bagaimana coklat terasa ketika dinikmati. Ada coklat yang lebih creamy dan lembut, ada yang meninggalkan rasa kering atau kelat, manakala sesetengahnya memberikan sensasi sejuk atau rasa yang menyelaputi mulut.
Roda ini turut mengambil kira empat rasa asas iaitu manis, masam, pahit dan masin, sebelum kesemua elemen tersebut digabungkan untuk mengenal pasti karakter sesuatu coklat.

Daripada pengalaman ini, Barry Callebaut memperkenalkan tiga gambaran karakter utama iaitu Silky, Velvet dan Zesty.
Silky menggambarkan coklat yang lembut dan berkrim, Velvet pula hadir dengan rasa lebih kaya seperti karamel, toffee dan kekacang, manakala Zesty memberikan sentuhan buah-buahan yang lebih segar dengan rasa masam-manis.

Barry Callerbaut Di Malaysia
Perjalanan Barry Callerbaut di Malaysia bermula pada tahun 2008 menerusi pengambilalihan pegangan majoriti dalam KLK Cocoa, sebuah syarikat pengeluar koko dan coklat yang telah beroperasi sejak 1990.
Kini, syarikat ini mempunyai lebih daripada 400 kakitangan di seluruh negara dan mengendalikan kilang pemprosesan koko di Pasir Gudang, Johor.

Malaysia juga menjadi lokasi kepada salah satu gudang biji koko terbesar di Asia Pasifik, yang dikendalikan bersama penyedia logistik global, Maersk. Selain itu, Barry Callebaut turut mempunyai Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di Petaling Jaya bagi menyokong operasi syarikat di rantau ini.
Perkembangan tersebut menjadikan Malaysia lebih daripada sekadar lokasi operasi. Negara ini kini memainkan peranan penting sebagai salah satu hab strategik Barry Callebaut untuk menyokong perniagaan dan pelanggan di Asia Tenggara.

Coklat Kini Lebih Daripada Sekadar Snek
Perubahan citarasa pengguna turut membuka lebih banyak peluang kepada industri coklat di Malaysia.
Walaupun penggunaan tahunan konfeksi coklat di Malaysia dianggarkan sekitar 0.4 kilogram bagi setiap orang, pasaran ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) melebihi 7 peratus sehingga 2031.

Coklat kini tidak lagi terhad kepada bar atau snek konfeksi. Ramuan ini semakin banyak digunakan dalam pelbagai hidangan dan minuman seperti kopi, pencuci mulut, pastri, gelato, aiskrim serta produk premium untuk tujuan pemberian hadiah.
Peningkatan permintaan terhadap produk yang lebih premium dan menawarkan pengalaman berbeza turut mendorong penggiat industri menghasilkan lebih banyak inovasi berasaskan coklat.

Dalam memenuhi keperluan tersebut, Barry Callebaut menawarkan pelbagai penyelesaian termasuk rangkaian Callebaut Signature, produk koko dan coklat Van Houten Professional, serta pilihan salutan, inti dan hiasan.

Selain memperluas portfolio, Barry Callebaut turut mengambil langkah untuk memastikan produk dan penyelesaiannya lebih mudah diakses oleh pelanggan di seluruh Malaysia.
Syarikat itu kini memperluas model pengedarannya daripada satu pengedar kepada tujuh rakan pengedaran di seluruh negara.

Langkah ini membolehkan Barry Callebaut mendekati lebih banyak perniagaan, daripada bakeri dan pengusaha makanan tempatan hingga kepada jenama yang lebih besar.
Antara jenama tempatan yang menggunakan penyelesaian Barry Callebaut termasuk Texture by C3 Lab, Enchante dan Artigusto Gelato.