Ini 7 Langkah Penting Untuk Lindungi Kesihatan Ketika Jerebu
Lina Rosli
Keadaan jerebu kembali menjadi perhatian di beberapa kawasan di Malaysia ketika negara memasuki fasa Monsun Barat Daya.
Dalam tempoh ini, anda pastinya mula merasakan keadaan cuaca yang lebih panas dan kering – yang mana ia boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan serta tanah gambut, sekaligus menyumbang kepada kejadian jerebu.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), keadaan cuaca panas dan kering ini dijangka berterusan sehingga September. Dan pada ketika ini sehingga September adalah antara tempoh yang perlu diberi perhatian kerana jerebu tempatan dan merentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
Dalam keadaan ini, orang ramai disarankan untuk memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan mengambil langkah yang sesuai bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.
Pantau Bacaan IPU Di Kawasan Anda
Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyemak bacaan IPU sebelum merancang aktiviti di luar rumah.
Secara umum, bacaan IPU dikategorikan seperti berikut:
- 0–50: Baik
- 51–100: Sederhana
- 101–200: Tidak sihat
- 201–300: Sangat tidak sihat
- 301–500: Berbahaya
Semakin tinggi bacaan IPU, semakin penting untuk mengurangkan pendedahan kepada udara luar, khususnya bagi golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara.
Apabila bacaan IPU meningkat, hadkan aktiviti di luar rumah, terutama aktiviti fizikal seperti berjoging, berbasikal dan bersukan.
Aktiviti fizikal menyebabkan kadar pernafasan meningkat, sekali gus menyebabkan lebih banyak udara disedut ke dalam paru-paru. Oleh itu, aktiviti senaman lebih sesuai dilakukan di dalam bangunan ketika keadaan jerebu semakin buruk.
Jika aktiviti luar tidak dapat dielakkan, kurangkan tempoh berada di luar dan pantau bacaan IPU secara berkala.
#1 Gunakan Pelitup Muka Yang Sesuai
Bagi individu yang perlu berada di luar, terutama mereka yang bekerja di kawasan terbuka, penggunaan pelitup muka yang sesuai boleh membantu mengurangkan pendedahan kepada zarah pencemar.
Namun, penggunaan pelitup muka bukan alasan untuk berada di luar dalam tempoh yang lama ketika bacaan IPU tinggi. Jika tidak mempunyai keperluan untuk keluar, langkah terbaik ialah mengurangkan pendedahan kepada udara berjerebu.
Golongan berisiko tinggi juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang lebih ketat.

#2 Pastikan Udara Di Dalam Rumah Lebih Bersih
Apabila keadaan udara di luar tidak baik, tutup tingkap dan pintu untuk mengurangkan kemasukan udara tercemar ke dalam rumah.
Jika anda menggunakan penyaman udara, pilih mod kitaran udara dalaman atau recirculation supaya udara dari luar tidak terus disedut masuk.
Penggunaan penapis udara atau air purifier juga boleh dipertimbangkan sebagai salah satu langkah untuk membantu mengekalkan kualiti udara dalam rumah.
Pada masa sama, elakkan aktiviti yang boleh menghasilkan asap atau pencemaran tambahan di dalam rumah, termasuk merokok dan pembakaran.

#3 Pastikan Tubuh Kekal Terhidrat
Keadaan panas dan kering yang sering berlaku ketika Monsun Barat Daya boleh meningkatkan keperluan badan terhadap air.
Pastikan pengambilan air mencukupi sepanjang hari, terutama apabila melakukan aktiviti fizikal atau berada di kawasan yang panas.
Walaupun pengambilan air tidak menghalang kesan zarah pencemar, hidrasi yang mencukupi penting untuk membantu tubuh menghadapi keadaan cuaca panas dan kering.
#4 Elakkan Merokok Dan Pembakaran Terbuka
Kualiti udara yang sudah terjejas akibat jerebu tidak sepatutnya ditambah dengan sumber pencemaran lain.
Elakkan merokok, khususnya di dalam rumah, dan jangan melakukan pembakaran terbuka. Selain memberi kesan kepada kualiti udara, pembakaran terbuka juga boleh menyumbang kepada penyebaran jerebu.
MET Malaysia turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tempoh Monsun Barat Daya bagi mengurangkan risiko kejadian jerebu.

#5 Beri Perhatian Kepada Golongan Berisiko
Kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit pernafasan perlu diberikan perhatian lebih ketika keadaan jerebu.
Hadkan aktiviti luar bagi golongan ini dan pastikan mereka berada dalam ruang dengan pengudaraan serta kualiti udara yang lebih baik.
Jika seseorang mengalami batuk berterusan, sesak nafas, sakit dada, mata pedih atau simptom lain yang semakin teruk, dapatkan pemeriksaan daripada doktor.

#6 Bersihkan Diri Selepas Berada Di Luar
Selepas berada di luar dalam keadaan berjerebu, amalkan kebersihan diri seperti mencuci muka, tangan dan bahagian kulit yang terdedah kepada udara luar.
Menukar pakaian selepas pulang ke rumah juga boleh menjadi sebahagian daripada rutin penjagaan diri, terutama selepas menghabiskan tempoh yang lama di luar.
#7 Tidak Bergantung Kepada Keadaan Langit Sahaja
Jerebu tidak semestinya kelihatan jelas pada setiap masa. Keadaan langit yang masih cerah juga tidak bermakna kualiti udara berada pada tahap baik.
Oleh itu, bacaan IPU daripada sumber rasmi perlu dijadikan rujukan utama sebelum melakukan aktiviti di luar.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat kualiti udara melalui sistem APIMS Jabatan Alam Sekitar, manakala perkembangan cuaca dan ramalan berkaitan boleh dirujuk melalui laman rasmi serta aplikasi myCuaca oleh MET Malaysia.


Bila Perlu Mendapatkan Rawatan?
Jangan abaikan perubahan pada keadaan kesihatan ketika jerebu, terutama jika simptom semakin teruk atau mengganggu aktiviti harian.
Antara simptom yang boleh berlaku akibat pendedahan kepada udara tercemar termasuk batuk, sakit tekak, mata pedih atau berair dan kesukaran bernafas.
Sekiranya berlaku sesak nafas yang ketara, sakit dada atau simptom yang membimbangkan, dapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Keadaan jerebu boleh berubah mengikut lokasi dan keadaan cuaca. Dengan Monsun Barat Daya dijangka berterusan sehingga September 2026 serta risiko jerebu yang lebih tinggi ketika tempoh cuaca panas dan kering, orang ramai perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga.
Semak bacaan IPU secara berkala, kurangkan aktiviti luar apabila kualiti udara merosot, pastikan ruang dalaman mempunyai kualiti udara yang baik dan beri perhatian khusus kepada golongan yang lebih berisiko.
Langkah yang mudah dan konsisten ini dapat membantu mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara sepanjang musim jerebu.