Mercedes-Benz CLA 250+ Electric Ditawarkan Pada Harga RM274,888
Lina Rosli
Mercedes-Benz Malaysia kini memperkenalkan Mercedes-Benz CLA 250+ Electric, model elektrik terbaharu yang hadir dengan gabungan teknologi pintar, prestasi dan kecekapan untuk kegunaan harian serta perjalanan jarak jauh.

Antara tarikan utama model ini ialah jarak perjalanan sehingga 792 kilometer mengikut WLTP, menjadikannya antara EV dalam segmennya yang menawarkan jarak perjalanan yang mengagumkan.
Menariknya, CLA 250+ Electric turut dilengkapi transmisi dua kelajuan pada gandar belakang.
Gear pertama memberikan pecutan lebih responsif ketika pemanduan dalam bandar, manakala gear kedua membantu meningkatkan kecekapan ketika dipandu pada kelajuan lebih tinggi, terutama untuk perjalanan jauh.

Dari segi pengecasan pula, sistem elektrik 800 volt membolehkan CLA 250+ Electric mendapatkan sehingga 325 kilometer jarak perjalanan hanya dalam masa 10 minit menggunakan pengecasan DC pantas sehingga 320 kW.
Untuk prestasi, CLA 250+ Electric mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 6.7 saat, dengan kelajuan maksimum sehingga 210 km/j.

Model ini turut memperkenalkan Mercedes-Benz Operating System (MB.OS), iaitu sistem operasi baharu yang menghubungkan pelbagai fungsi dalam kenderaan dalam satu sistem yang lebih pintar dan bersepadu.
Menerusi MB.OS, pemandu boleh mengakses pelbagai fungsi seperti sistem infotainmen, navigasi, hiburan serta beberapa fungsi kenderaan dengan lebih lancar. Sistem ini juga menyokong kemas kini perisian secara over-the-air, jadi ciri dan fungsi tertentu boleh dikemas kini tanpa perlu ke pusat servis.

Dari segi reka bentuk, CLA 250+ Electric tampil dengan gaya yang lebih moden dan sporty, terutama pada bahagian hadapan yang menampilkan rekaan berkonsepkan shark nose. Ia turut dilengkapi gril bercorak Mercedes-Benz dengan pencahayaan yang memberikan penampilan lebih menonjol.
Rekaan ini kemudiannya diteruskan ke bahagian kabin yang tampil lebih minimalis dan moden, dengan elemen teknologi menjadi antara tarikan utama untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih premium.


Di dalam kabin, ia dilengkapi Mercedes-Benz Superscreen yang memberikan pengalaman digital lebih menyeluruh kepada pemandu dan penumpang.
Selain menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, sistem ini turut menawarkan pelbagai fungsi hiburan termasuk permainan (games) yang boleh digunakan ketika kenderaan berada dalam keadaan berhenti.

Di Malaysia, Mercedes-Benz CLA 250+ Electric ditawarkan pada harga RM274,888 atau daripada RM2,988 sebulan menerusi pelan Agility+ by Mercedes-Benz.
Pelan ini turut merangkumi waranti terhad tahun kelima Star Gold, empat Compact Service Packages serta Guaranteed Future Value.

Selain CLA 250+ Electric, Mercedes-Benz Malaysia turut membuka tempahan awal bagi Mercedes-Benz S-Class Facelift dan Mercedes-Benz GLC elektrik serba baharu.
Mercedes-Benz GLC elektrik serba baharu itu dijangka ditawarkan pada harga antara RM370,000 hingga RM400,000 dan turut akan tersedia menerusi pelan Agility+ by Mercedes-Benz.
Dengan kehadiran CLA 250+ Electric serta dua model yang bakal menyusul, Mercedes-Benz Malaysia dilihat terus memperluaskan pilihan kenderaan elektriknya untuk pasaran tempatan.