Mercedes-Benz Melancarkan Platform Digital MB.CHARGE Public
Lina Rosli
Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan MB.CHARGE Public, sebuah perkhidmatan pengecasan digital yang direka untuk memudahkan pemilik kenderaan elektrik (EV) dan plug-in hybrid mencari, menggunakan serta membuat bayaran pengecasan melalui satu platform.
Menerusi Mercedes-Benz App dan sistem MBUX, pengguna boleh mencari lokasi pengecas, melihat ketersediaan pengecas secara masa nyata, menetapkan laluan ke lokasi tersebut dan memulakan sesi pengecasan tanpa perlu menggunakan aplikasi berbeza untuk setiap operator.

Lebih menarik, MB.CHARGE Public menghimpunkan rangkaian daripada tujuh Charging Point Operators (CPO) di Malaysia, iaitu CarputZap, Charge+, ChargeSini, chargEV, DC Handal, Gentari dan JomCharge.
Secara keseluruhan, pengguna boleh mengakses lebih 3,000 titik pengecasan di lebih 1,000 lokasi di seluruh negara menerusi satu perkhidmatan pengecasan.

Antara fungsi yang ditawarkan ialah paparan lokasi pengecas dan perancangan laluan pintar melalui sistem navigasi MBUX.
Sistem ini boleh menunjukkan pengecas yang tersedia berhampiran atau di destinasi, termasuk hanya pengecas yang serasi dengan model kenderaan pengguna. Pengguna juga boleh menapis pilihan berdasarkan kelajuan pengecasan.


Untuk kenderaan elektrik, fungsi Navigation with Electric Intelligence turut membantu merancang laluan dengan mengambil kira keperluan pengecasan sepanjang perjalanan. Ini termasuk menentukan lokasi pengecasan yang sesuai bagi membantu perjalanan menjadi lebih lancar.
Pengguna juga boleh memulakan sesi pengecasan melalui sistem MBUX atau Mercedes-Benz App, selain memantau status pengecasan terus melalui aplikasi.

Dari segi bayaran pula, pengguna boleh melihat kadar pengecasan berdasarkan kilowatt-jam atau minit, termasuk anggaran kos untuk mencapai tahap pengecasan maksimum bagi kenderaan elektrik.
Selepas pengecasan selesai, bayaran akan diproses secara automatik melalui MB.CHARGE Public. Semua rekod transaksi juga boleh disemak melalui Mercedes-Benz Customer Portal dan Mercedes-Benz App.

MB.Charge Public Boleh Digunakan Di Malaysia Dan Singapura
Satu lagi kelebihan MB.CHARGE Public ialah perkhidmatan ini turut menyokong perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.
Pengguna boleh mengakses rangkaian pengecasan di kedua-dua negara melalui satu perkhidmatan pengecasan, dengan sesi pengecasan diuruskan menerusi satu sistem bil.
Untuk pengetahuan anda MB.CHARGE Public kini tersedia untuk kenderaan Mercedes-Benz elektrik sepenuhnya serta model plug-in hybrid, sekaligus melengkapkan ekosistem pengecasan Mercedes-Benz yang merangkumi pengecasan di rumah, lokasi rakan niaga dan pengecas awam.