GWM ORA 5 HEV – SUV Hibrid Baharu Dengan Jarak Lebih 1,100 KM
Lina Rosli
GWM Malaysia dijangka memperkenalkan GWM ORA 5 HEV ke pasaran tempatan, sebuah crossover bandar yang tampil dengan reka bentuk lebih ekspresif serta teknologi hibrid pintar.
Bukan sekadar menawarkan gaya yang menarik, model ini direka untuk memenuhi keperluan kehidupan seharian, daripada perjalanan ke tempat kerja hinggalah aktiviti hujung minggu.
Kehadiran ORA 5 HEV juga menandakan langkah baharu jenama ORA di Malaysia, dengan menggabungkan gaya, prestasi, kecekapan dan teknologi dalam sebuah kenderaan yang lebih dekat dengan gaya hidup pengguna moden.

GWM ORA 5 HEV Menggunakan Hi2 Intelligent Hybrid Technology.
Di sebalik reka bentuknya, GWM ORA 5 HEV dilengkapi teknologi hibrid pintar terbaharu GWM yang dikenali sebagai Hi2 Intelligent Hybrid Technology.
Sistem ini menggabungkan enjin 1.5 liter turbo, transmisi 2-kelajuan DHT serta sistem bateri untuk menghasilkan kuasa gabungan sehingga 223 PS dan tork 476 Nm.
Hasilnya, ORA 5 HEV mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 7.7 saat.

Untuk pengetahuan anda, teknologi Hi2 direka untuk menguruskan enjin, transmisi dan sistem hibrid secara pintar bagi menghasilkan pemanduan yang lebih lancar, senyap dan responsif.
Pada masa yang sama, sistem ini memberi tumpuan kepada dua perkara utama, iaitu prestasi dan penggunaan bahan api yang rendah.


Menawarkan Jarak Perjalanan Mencecah 1,100 KM Dengan Satu Tangki
Salah satu kelebihan utama ORA 5 HEV ialah kecekapan penggunaan bahan apinya.
Model ini mencatat penggunaan bahan api serendah 4.4 liter bagi setiap 100 kilometer, dengan jarak perjalanan melebihi 1,100 kilometer menggunakan satu tangki.

Ini bermakna pengguna boleh menikmati perjalanan harian tanpa perlu terlalu kerap berhenti untuk mengisi minyak.
Untuk perjalanan jarak jauh seperti dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang atau Johor Bahru, jarak tersebut juga memberikan lebih fleksibiliti kepada pemandu.


Bukan itu sahaja, kecekapan teknologi hibrid GWM ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ORA 5 HEV mencatat penggunaan bahan api 3.74 liter/100 km dalam cabaran pemanduan dunia sebenar sejauh 3,004 kilometer di China.
Pencapaian tersebut membolehkannya menerima gelaran GUINNESS WORLD RECORDS bagi penggunaan bahan api terendah oleh SUV hibrid pengeluaran merentasi semua kawasan perbandaran yang ditadbir secara langsung di China.
GWM ORA 5 HEV Hadir Dengan Saiz Kompak Dan Teknologi Lebih Pintar
Dari segi ukuran, GWM ORA 5 HEV mempunyai panjang 4,471 mm, lebar 1,833 mm, tinggi 1,641 mm dan jarak roda 2,720 mm.
Ia turut dilengkapi fungsi kawalan melalui aplikasi, membolehkan pemilik berinteraksi dengan beberapa fungsi kenderaan menggunakan peranti mudah alih.

Di dalam kabin, GWM ORA 5 HEV dilengkapi skrin infotainmen 14.6 inci yang menggunakan sistem Coffee OS 3.0, bersama paparan instrumen digital 10.25 inci di hadapan pemandu.
Sistem inforia ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, membolehkan pengguna mengakses navigasi, muzik, panggilan dan beberapa aplikasi daripada telefon terus melalui skrin kenderaan tanpa perlu menggunakan kabel. Ia juga menawarkan fungsi kawalan suara serta sistem navigasi pintar.

Dari aspek keselamatan, GWM ORA 5 HEV turut menawarkan rangkaian Advanced Driver Assistance System (ADAS) untuk membantu pemandu dalam situasi pemanduan harian.
Antara fungsi yang ditawarkan pada spesifikasi ORA 5 di pasaran tertentu termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), yang membantu mengesan risiko pelanggaran dan memberikan amaran atau melakukan brek secara automatik apabila diperlukan.


Sistem Adaptive Cruise Control (ACC) pula membantu mengekalkan kelajuan serta jarak yang ditetapkan dengan kenderaan di hadapan, menjadikannya lebih praktikal terutama ketika memandu di lebuh raya.
Ciri bantuan lorong juga ditawarkan seperti Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Door Open Warning, Emergency Lane Keeping, Rear Cross Traffic Alert dan Rear Cross Traffic Braking.

Secara keseluruhannya, GWM ORA 5 HEV hadir sebagai crossover bandar yang menggabungkan reka bentuk lebih tersendiri, teknologi hibrid pintar dan pelbagai ciri moden untuk kegunaan harian.
Dengan prestasi 223 PS, penggunaan bahan api serendah 4.4L/100 km serta jarak perjalanan lebih 1,100 kilometer, model ini menawarkan gabungan prestasi dan kecekapan yang menarik untuk pemanduan dalam bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Buat masa ini, tarikh pelancaran rasmi GWM ORA 5 HEV di Malaysia masih belum diumumkan. Namun, model ini dijangka dilancarkan kepada pasaran tempatan dalam masa terdekat, sekaligus memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mencari sebuah kenderaan hibrid dengan gaya, teknologi dan praktikaliti dalam satu pakej.