Atlantis Automobili Dilantik Sebagai Pengimport Dan Pengedar Rasmi Maserati Di Malaysia
Lina Rosli
Atlantis Automobili Sdn. Bhd kini dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasmi Maserati di Malaysia, berkuat kuasa 19 Mei 2026.
Pelantikan ini menandakan satu bab baharu buat jenama automotif mewah dari Itali itu di Malaysia, selain memperkukuh komitmen Maserati untuk terus memberikan sokongan kepada pelanggan serta pemilik kenderaan di negara ini.

Menerusi pelantikan tersebut, Atlantis Automobili akan mengambil alih tanggungjawab penuh terhadap operasi Maserati di Malaysia yang merangkumi:
- jualan
- perkhidmatan selepas jualan
- pengalaman pelanggan
- pembangunan jenama
- operasi rangkaian
Bagi pemilik Maserati di Malaysia, Atlantis Automobili memberi jaminan bahawa sokongan selepas jualan dan khidmat pelanggan akan diteruskan sepanjang tempoh peralihan.
Saluran komunikasi khusus juga akan disediakan bagi membantu pelanggan mendapatkan maklumat terkini serta mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan pemilikan kenderaan mereka.

Bagi yang tidak mengetahui, Atlantis Automobili merupakan sebahagian daripada Atlantis Motor Group, sebuah kumpulan automotif serantau yang menyediakan penyelesaian mobiliti merangkumi pelbagai aspek dalam rantaian industri automotif.
Dengan pengalaman dalam industri tersebut, Atlantis Automobili menyasarkan untuk meneruskan tahap perkhidmatan yang selari dengan standard Maserati serta memberikan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan di Malaysia.

Bakal Menampilkan Pelaburan Dan Inisiatif Baharu
Sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang, Atlantis Automobili kini sedang menyediakan beberapa pelaburan dan penambahbaikan strategik bagi memperkukuh kehadiran Maserati di Malaysia.
Antara perkara yang bakal diperkenalkan termasuk kemudahan baharu, inisiatif untuk pelanggan serta beberapa perkembangan lain yang akan diumumkan dalam masa akan datang.
Oleh itu, dengan pelantikan ini, Maserati dan Atlantis Automobili dijangka memasuki satu fasa baharu di Malaysia dengan tumpuan kepada kesinambungan perkhidmatan, keyakinan pelanggan serta pertumbuhan jenama untuk jangka panjang.