Volvo EX90 Bakal Tiba Di Malaysia, SUV Eletrik Dengan Teknologi Keselamatan Pintar
Lina Rosli
Volvo Car Malaysia bakal memperkenalkan Volvo EX90, sebuah SUV elektrik tujuh tempat duduk yang menjadi model flagship elektrik sepenuhnya daripada Volvo.
EX90 merupakan antara model paling canggih yang pernah diperkenalkan oleh Volvo. Ia menggabungkan reka bentuk minimalis Scandinavia dengan prestasi elektrik, teknologi keselamatan pintar serta sistem yang boleh ditambah baik dari semasa ke semasa melalui kemas kini perisian secara over-the-air (OTA).

Dari segi prestasi, Volvo EX90 menggunakan seni bina elektrik 800V bersama rangkaian kuasa Twin Motor All-Wheel Drive (AWD).
Gabungan ini menghasilkan kuasa sehingga 680 hp dan tork maksimum 870 Nm. Dengan kuasa tersebut, SUV tujuh tempat duduk ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.2 saat.

Seni bina 800V turut memberikan beberapa kelebihan kepada sistem elektrik kenderaan, termasuk membantu mengurangkan berat keseluruhan serta penggunaan tembaga. Dalam masa yang sama, sistem pacuan semua roda membantu memberikan cengkaman dan kawalan yang lebih baik ketika pemanduan.
Dari segi teknologi pula, EX90 dilengkapi sistem pengkomputeran teras dan rangkaian penderia yang memantau keadaan di sekeliling kenderaan secara berterusan.
Sistem ini membantu kenderaan memahami persekitarannya dan memberikan sokongan kepada pemandu apabila diperlukan. Pendekatan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Volvo untuk menjadikan sistem keselamatan lebih proaktif, bukan sekadar bertindak selepas kemalangan berlaku.

Di dalam kabin pula, EX90 dilengkapi sistem penderia intuitif yang sentiasa memantau keadaan penumpang dan persekitaran di dalam kenderaan. Teknologi ini direka untuk meningkatkan keselamatan serta memberikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa.
Sebagai SUV tujuh tempat duduk, EX90 turut menawarkan ruang kabin yang luas dengan reka bentuk minimalis Scandinavia. Kemasan dalaman yang ringkas dan premium pula memberikan suasana yang tenang sepanjang perjalanan.

Bagi anda yang berminat untuk menjadi antara pemilik terawal Volvo EX90 di Malaysia, Volvo Car Malaysia kini membuka pendaftaran minat menerusi laman rasmi mereka.
Lebih menarik, 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan bakal menerima ganjaran istimewa sempena tawaran tempahan awal yang terhad. Maklumat lanjut mengenai ganjaran tersebut akan dikongsikan kelak.
Pendaftaran minat boleh dibuat menerusi laman rasmi volvocarmalaysia.com/ex90.