Kanser Buah Pinggang – Mengapa Ia Sukar Dikesan Dan Pentingnya Saringan Awal
Lina Rosli
Kanser buah pinggang merupakan antara penyakit yang boleh berkembang tanpa menunjukkan sebarang gejala yang jelas pada peringkat awal.
Keadaan ini menyebabkan sebahagian pesakit hanya mengetahui mereka menghidap kanser selepas penyakit tersebut berada pada tahap yang lebih serius.
Menurut Dr Christopher Lee Kheng Siang, Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, kanser buah pinggang atau karsinoma sel renal (Renal Cell Carcinoma, RCC) sering berkembang secara senyap.
Beliau menjelaskan bahawa tumor buah pinggang boleh muncul sebagai ketumbuhan pepejal atau sista (cyst) kompleks di dalam buah pinggang. Walaupun terdapat ketumbuhan dan cyst yang bersifat benigna, ketumbuhan malignan memerlukan perhatian dan rawatan sewajarnya.

Kanser Buah Pinggang Boleh Berlaku Tanpa Gejala
Salah satu sebab utama kanser buah pinggang sukar dikesan adalah kerana ia biasanya tidak menunjukkan tanda yang ketara pada peringkat awal.
Dalam banyak kes, tumor atau cyst buah pinggang hanya ditemui secara tidak sengaja ketika seseorang menjalani pemeriksaan kesihatan atau imbasan bagi tujuan lain.
Apabila tumor semakin membesar, beberapa gejala mungkin mula muncul. Antaranya ialah sakit pada bahagian abdomen atau belakang badan, bengkak pada abdomen dan kehadiran darah dalam urin.
Dalam kes yang lebih serius, pesakit mungkin mengalami kelesuan, kehilangan selera makan atau penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas.
Namun, gejala tersebut tidak semestinya muncul pada setiap pesakit. Oleh sebab itu, seseorang yang berasa sihat tidak seharusnya menganggap mereka bebas daripada sebarang risiko.
Bagaimana Kanser Buah Pinggang Dikesan?
Sekiranya tumor atau cyst yang mencurigakan ditemui, pesakit biasanya akan dirujuk kepada pakar urologi untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut pakar, imbasan CT dengan kontras pada buah pinggang dan saluran kencing biasanya dilakukan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai ketumbuhan tersebut.

Imbasan CT boleh membantu mendiagnosis kanser buah pinggang dengan ketepatan sekitar 95 hingga 99 peratus.
Dalam kebanyakan kes, biopsi tidak diperlukan sebelum rawatan dimulakan, bergantung kepada hasil imbasan dan penilaian doktor.
Kaedah pemeriksaan yang digunakan bagaimanapun bergantung kepada keadaan setiap pesakit. Doktor akan menentukan pemeriksaan yang paling sesuai berdasarkan saiz, lokasi dan ciri ketumbuhan yang ditemui.
Pengesanan Awal Memberikan Lebih Banyak Pilihan Rawatan
Kanser buah pinggang mempunyai peluang rawatan yang lebih baik sekiranya dikesan pada peringkat awal.
Bergantung kepada saiz dan lokasi tumor, pembedahan mungkin melibatkan nefrektomi separa (partial nephrectomy), iaitu membuang tumor sambil mengekalkan bahagian buah pinggang yang masih sihat, atau pembuangan keseluruhan buah pinggang.
Bagi kes yang sesuai, nefrektomi separa menjadi pilihan utama kerana ia membantu mengekalkan fungsi buah pinggang yang masih ada.
Pendekatan ini amat penting bagi pesakit yang masih muda, individu yang hanya mempunyai satu buah pinggang yang berfungsi atau mereka yang berisiko mengalami penyakit buah pinggang kronik.

Pembedahan Invasif Minimum Boleh Membantu Pemulihan
Pembedahan untuk merawat kanser buah pinggang boleh dilakukan melalui beberapa pendekatan, termasuk pembedahan terbuka, laparoskopi dan pembedahan berbantukan robotik.
Menurut Dr Christopher, kaedah laparoskopi dan robotik mempunyai kelebihan sebagai prosedur invasif minimum kerana ia menggunakan bukaan yang lebih kecil berbanding pembedahan terbuka.
Keadaan ini boleh membantu mengurangkan rasa sakit selepas pembedahan, memendekkan tempoh kemasukan ke hospital dan membolehkan pesakit kembali melakukan aktiviti harian dengan lebih cepat.
Beliau menjelaskan bahawa nefrektomi laparoskopi kini menjadi antara pendekatan utama bagi tumor buah pinggang yang tidak sesuai untuk pembuangan secara separa, manakala pembedahan terbuka biasanya digunakan bagi kes yang lebih kompleks.
Teknologi robotik turut memberikan lebih banyak pilihan kepada pakar bedah untuk melakukan prosedur pemeliharaan buah pinggang yang kompleks menggunakan teknik invasif minimum.