UNIQLO U 2026 Fall/Winter Dilancarkan 11 September, Koleksi Terakhir Christophe Lemaire
Lina Rosli
UNIQLO bakal melancarkan koleksi UNIQLO U Fall/Winter 2026 di Malaysia bermula 11 September 2026.
Koleksi kali ini cukup istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-10 UNIQLO U, selain menjadi koleksi terakhir yang dihasilkan oleh pasangan pereka Christophe Lemaire dan Sarah-Linh Tran.
Sejak diperkenalkan pada 2016, UNIQLO U dibangunkan dengan konsep “Future LifeWear”, yang menggabungkan rekaan moden, material berkualiti serta warna yang mudah digayakan untuk kegunaan harian.

Selepas sedekad menerajui pasukan reka bentuk di Paris R&D Center, koleksi Fall/Winter 2026 ini menjadi penutup kepada bab pertama perjalanan UNIQLO U bersama kedua-dua pereka tersebut.
Untuk koleksi wanita, UNIQLO U Fall/Winter 2026 mengetengahkan gabungan material lembut dengan potongan yang lebih berstruktur.


Antara item yang diberi perhatian ialah Satin Combination Dress, yang menggabungkan material lembut dengan siluet yang kemas. Rekaan ini memberikan penampilan yang lebih elegan tanpa mengorbankan keselesaan.
Selain itu, Hybrid Down Short Jacket hadir dengan potongan kompak, manakala Coated Blouson menampilkan garis bahu yang lebih jelas.

Kedua-dua rekaan ini direka untuk memberikan kebebasan bergerak sambil mengekalkan bentuk pakaian ketika dipakai.
Bagi koleksi lelaki pula, UNIQLO U menggabungkan fungsi dengan rekaan yang membolehkan pemakainya menampilkan gaya tersendiri.

Wool Blend Short Coat direka untuk memberikan perlindungan daripada cuaca sejuk dan pada masa sama mengambil inspirasi daripada elemen pakaian workwear.
Sementara itu, Fishtail Parka diberikan sentuhan moden yang lebih sesuai untuk gaya harian. Rekaan ini turut menekankan unsur individualiti, menjadikannya mudah dipadankan dengan pelbagai jenis pakaian.

Menariknya, warna merah terang digunakan sebagai warna aksen dalam koleksi kali ini bagi memberikan sedikit kelainan kepada keseluruhan pilihan warna yang lebih neutral.
Secara umumnya, untuk musim Fall/Winter 2026, UNIQLO U menawarkan sebanyak 14 item untuk wanita, 17 item untuk lelaki dan dua aksesori.

Dari segi harga, koleksi ini ditawarkan bermula RM79.90 hingga RM499.90, bergantung pada kategori dan rekaan.
Bagi yang berminat, koleksi UNIQLO U Fall/Winter 2026 akan mula tersedia di Malaysia pada 11 September 2026.