Jadi Batek x Bokitta Memperkenalkan The Art Series, Koleksi Tudung Bercorak Batik Lukisan Tangan

August 28, 2026
Fesyen

Lina Rosli

Sempena sambutan Merdeka 2026, Jadi Batek bekerjasama dengan jenama fesyen sopan antarabangsa Bokitta untuk memperkenalkan The Art Series, koleksi hijab tanpa pin yang menampilkan motif flora daripada karya batik lukisan tangan.

Koleksi ini dilancarkan pada 28 Ogos menerusi acara “Beyond the Scarf: Motifs in Motion” di Galeri Jadi Batek, Kuala Lumpur.

The Art Series menggabungkan seni batik tradisional Malaysia dengan rekaan hijab tanpa pin Bokitta yang lebih praktikal untuk dipakai.

Menurut kedua-dua jenama ini, motif flora dalam koleksi ini diinspirasikan daripada keindahan alam semula jadi, botani dan keanggunan wanita.

Untuk pengetahuan anda, koleksi ini menampilkan enam rekaan iaitu Valentina, Verde, Bellina, Solea, Rosewater dan Azura.

Setiap motif dihasilkan berdasarkan karya batik lukisan tangan oleh artisan Jadi Batek sebelum didigitalkan dan disesuaikan pada rekaan hijab Bokitta.

Proses penghasilan batik pula melibatkan beberapa peringkat iaitu bermula daripada melakar motif, mencanting menggunakan lilin, mewarna, menetapkan warna, menanggalkan lilin dan akhirnya mencuci serta mengeringkan kain.

Hasilnya, setiap rekaan mengekalkan elemen warna, tekstur dan corak organik yang menjadi ciri batik buatan tangan.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran koleksi ini, pelanggan yang membeli hijab daripada The Art Series akan menerima baucar diskaun 20% untuk kelas melukis batik dan produk batik asli di Jadi Batek.

Baucar ini sah sehingga 31 Oktober 2026 dengan minimum perbelanjaan RM50. Ia boleh ditebus secara atas talian atau secara fizikal di Jadi Batek, tertakluk kepada terma dan kekosongan kelas.

Bagi yang berminat, koleksi Jadi Batek x Bokitta: The Art Series kini boleh didapati pada harga RM89 menerusi pembelian secara atas talian dan melalui pengedar sah, termasuk Bokitta Modern di ruang pameran visual Galeri Jadi Batek.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd