Honda Malaysia Lancar WR-V Baharu, SUV Kompak Dengan Harga Bermula RM94,900
Lina Rosli
Honda Malaysia secara rasmi memperkenalkan WR-V baharu bagi tahun 2026 ini. Pengenalan model baharu ini dilihat tampil dengan beberapa kemaskini pada bahagian luaran, dalaman serta ciri teknologi.
Untuk pengetahuan anda, WR-V 2026 ini hadir dalam tiga varian iaitu E, V dan RS. Dan untuk ketiga-tiga varian ini, ia masih mengekalkan reka bentuk sporty dan saiz kompak yang sesuai untuk kegunaan harian, sambil menawarkan ruang kabin dan ciri praktikal untuk pelbagai keperluan.
Berdasarkan perkongsian Honda Malaysia, antara kemas kini utama pada WR-V 2026 ialah pilihan warna baharu Two-Tone Blazing Red Pearl yang ditawarkan secara eksklusif untuk varian RS.

Warna merah pada badan dipadankan dengan bumbung berwarna kontras, memberikan penampilan yang lebih sporty dan menyerlah. Selain warna baharu tersebut, varian RS turut menerima gril hadapan hitam baharu yang menambah karakter pada bahagian hadapan.
Sementara untuk varian yang lain, Honda dilihat menawarkan pilihan rim aloi hitam 17 inci sebagai ciri standard.
Bagi pilihan warna lain, WR-V 2026 turut tersedia dalam Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Stellar Diamond Pearl dan Blazing Red Pearl.

Enjin 1.5L Dengan 121PS
Dari segi prestasi, WR-V 2026 ini dikuasakan oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa maksimum 121PS dan tork 145Nm.
Enjin ini dipadankan dengan transmisi Continuously Variable Transmission (CVT) yang direka untuk memberikan penghantaran kuasa yang lancar serta penggunaan bahan api yang lebih cekap untuk kegunaan harian.
Untuk keselamatan pula, Honda SENSING kekal ditawarkan sebagai ciri standard untuk semua varian. Sistem Honda CONNECT turut disediakan bersama pelbagai ciri keselamatan lain.

Kabin Dengan Ciri Lebih Lengkap
Di bahagian dalam, varian RS menerima beberapa ciri tambahan termasuk Red Ambient Lighting, pengecasan nirwayar dan kamera pandangan 360 darjah.
WR-V baharu ini juga turut hadir dengan tempat duduk kulit kombinasi yang dipertingkatkan bersama jahitan merah, selain reka bentuk papan pemuka baharu dengan kemasan Dark Steel.
Melengkapkan kereta ini adalah sistem inforia yang menggunakan skrin audio 10-inci yang kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi saiz kabin pula, WR-V menawarkan ruang yang praktikal dengan kapasiti ruang bagasi sehingga 380 liter.
Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan tempat duduk belakang boleh dilipat dalam konfigurasi 60:40, membolehkan ruang penyimpanan diubah mengikut keperluan.
Ia turut menawarkan beberapa konfigurasi ruang seperti Utility Mode untuk barangan bersaiz besar, Long Mode untuk barangan panjang dan Tall Mode bagi membawa barangan yang lebih tinggi.

Bagi yang berminat, WR-V 2026 ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans seperti berikut:
| Varian | Harga |
|---|---|
| WR-V E | RM94,900 |
| WR-V V | RM98,900 |
| WR-V RS | RM104,900 |
Menurut Honda Malaysia, WR-V telah menerima sambutan positif sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2023 dengan lebih 24,000 unit berada di jalan raya setakat ini.
New WR-V kini dibuka untuk tempahan. Pelanggan boleh membuat tempahan melalui laman pra-tempahan Honda Malaysia atau mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda untuk mendapatkan maklumat lanjut.