JATI Cipta Rekod Malaysia Book Of Records Dengan Seni Padi Berbentuk Hati Di MAHA 2026
Lina Rosli
JATI mencipta sejarah di MAHA 2026 menerusi karya seni padi terbesar di Malaysia yang dibentuk sepenuhnya menggunakan tanaman padi hidup.
Karya seni padi ini dihasilkan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang mana karya bertajuk Natural Waves of Malaysia itu telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Largest Paddy Art Formation” di Malaysia.
Apa yang menjadikan karya ini istimewa ialah ia dihasilkan sepenuhnya daripada tanaman padi hidup, tanpa menggunakan cat, pewarna atau bahan sintetik.
Perbezaan peringkat pertumbuhan padi digunakan untuk menghasilkan variasi warna dan kontras secara semula jadi.

Diilhamkan Daripada Gerakan Padi Ditiup Angin
Karya Natural Waves of Malaysia mendapat inspirasinya daripada pergerakan tanaman padi yang bergoyang apabila ditiup angin.
Gerakan semula jadi itu menghasilkan corak seperti ombak, dengan perubahan rona hijau dan keemasan mengikut peringkat pertumbuhan padi.
Idea tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam sebuah karya berskala besar di kawasan sawah, yang memerlukan perancangan teliti selama beberapa bulan.

Prosesnya bermula dengan menghasilkan reka bentuk berasaskan koordinat menggunakan perisian AutoCAD.
Reka bentuk itu kemudiannya dipindahkan ke kawasan sawah menggunakan pancang kayu dan tali sebagai panduan untuk memastikan setiap bahagian dapat ditanam mengikut bentuk serta perkadaran yang ditetapkan.
Bagi menghasilkan variasi warna secara semula jadi, benih padi jenis MR 284 disemai secara terus ke kawasan sawah dalam tiga fasa pertumbuhan, iaitu Fasa Kuning, Fasa Hijau dan peringkat Anak Padi.

Setiap bahagian ditanam dan dibiarkan berkembang mengikut tempoh yang berbeza bagi mendapatkan rona serta kontras yang diperlukan.
Apabila tanaman mencapai peringkat pertumbuhan tertentu, gabungan warna tersebut membentuk corak Natural Waves of Malaysia seperti yang telah dirancang.
Setelah siap, karya berkenaan melalui proses pengesahan oleh Malaysia Book of Records sebelum secara rasmi menerima pengiktirafan sebagai “Largest Paddy Art Formation” di Malaysia.

Lebih daripada sekadar pencapaian rekod, Natural Waves of Malaysia menjadi cara JATI untuk menghargai tanaman padi serta komuniti pesawah yang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Melalui pendekatan ini, padi bukan sahaja dilihat sebagai sumber makanan, tetapi turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada warisan pertanian yang boleh diterokai melalui idea dan bentuk yang lebih kreatif.