Kolaborasi Seiko Presage Dan TRADMAN’S BONSAI Tampilkan Jam Edisi Terhad Inspirasi Bonsai Jepun
Lina Rosli
Seiko Presage tampil dengan jam tangan edisi terhad hasil kerjasama bersama TRADMAN’S BONSAI, sebuah kumpulan kreatif Jepun yang banyak berkarya dalam reka bentuk, penghasilan dan kurasi ruang bonsai.
Untuk model ini, inspirasi datang daripada bonsai pain hitam Jepun yang disinari cahaya bulan.
Keindahan pokok pain yang terbentuk mengikut masa kemudiannya diterapkan pada beberapa bahagian jam, daripada warna muka jam hinggalah kepada corak dan kemasan yang digunakan.

Pada bahagian sarung jam dan tali, aksen rona emas digunakan untuk menggambarkan cahaya bulan yang menyinari pokok pain. Rona ini turut memberikan sedikit kontras kepada muka jam berwarna hijau.
Muka jam pula menampilkan corak yang mengambil inspirasi daripada karakter dan tekstur pokok pain yang semakin terserlah apabila usianya meningkat.
Tekstur tersebut memberikan penampilan yang lebih mendalam pada permukaan muka jam, seakan-akan menggambarkan batang pokok yang telah melalui proses pertumbuhan selama bertahun-tahun.

Muka jam ini menggunakan matsuba-iro, iaitu rona hijau yang diambil daripada warna jarum pokok pain. Rona tradisional Jepun ini juga dikaitkan dengan simbol tuah.
Padanan hijau matsuba-iro bersama aksen emas memberikan jam tangan ini penampilan yang tenang dan klasik, selari dengan inspirasi daripada bonsai yang menekankan keindahan alam serta proses pertumbuhan yang mengambil masa.

Selain itu, model ini turut didatangkan dengan tali kulit tambahan untuk memberikan pilihan kepada pemakai. Menariknya, bahagian bawah tali tersebut dihiasi motif jarum pokok pain sanko-matsu dalam bentuk timbul.
Motif ini juga mempunyai kaitan dengan simbol tuah dalam budaya tradisional Jepun.


Apa yang membezakan jam tangan ini dengan model Presage yang lain adalah ia tampil dengan ukiran “LIMITED EDITION” dan nombor siri individu pada bahagian belakang sarung jam.
Untuk melengkapkan edisi kolaborasi ini, Seiko Presage turut menyediakan kotak khas bersama kain jam tangan yang menampilkan reka bentuk asli.

Keseluruhannya, jam tangan ini mengambil pendekatan yang agak halus dalam membawa elemen bonsai ke dalam rekaan. Ia bukan sekadar menggunakan imej pokok pain, tetapi turut mengambil inspirasi daripada tekstur, warna dan simbol yang berkait dengan tumbuhan tersebut.
Bagi yang berminat, jam tangan edisi terhad Seiko Presage x TRADMAN’S BONSAI ini telahpun mula tersedia di butik Seiko dan beberapa kedai runcit terpilih di seluruh dunia.