Inkontinens Urinari Dalam Kalangan Kanak-Kanak Bukan Sekadar Kencing Malam

September 2, 2026
Kesihatan

Lina Rosli

Masalah anak terkencing ketika tidur atau terlepas air kencing pada waktu siang mungkin kelihatan seperti perkara biasa dalam proses membesar. Namun, jika ia berlaku secara berterusan selepas usia lima tahun, keadaan ini wajar diberi perhatian.

Masalah tersebut dikenali sebagai inkontinens urinari atau kebocoran urin, iaitu keadaan apabila kanak-kanak tidak dapat mengawal pengeluaran air kencing sepenuhnya. Ia boleh berlaku pada waktu siang, malam atau kedua-duanya.

Menurut Dr Srihari Singaravel, Pakar Pediatrik Urologi, Pakar Bedah Pediatrik & Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, masalah ini sebenarnya lebih biasa daripada yang disangka.

Secara global, sekitar 10 hingga 20 peratus kanak-kanak mengalami masalah kencing malam, manakala 7 hingga 10 peratus pula berdepan dengan gejala pada waktu siang. Ini bermakna inkontinens urinari bukanlah keadaan yang luar biasa dalam kalangan kanak-kanak.

Walaupun masalah ini boleh berlaku sebagai sebahagian daripada proses perkembangan, kebocoran urin yang berterusan boleh memberi kesan kepada keyakinan diri, kehidupan di sekolah dan kesejahteraan emosi anak.

Adakah Masalah Kencing Malam Itu Normal?

Setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza, termasuk dalam soal kawalan pundi kencing.

Kebanyakan kanak-kanak mula mengawal kencing pada waktu siang sekitar usia dua hingga tiga tahun. Namun, kawalan pada waktu malam biasanya mengambil masa yang lebih lama dan bagi sesetengah kanak-kanak, ia boleh berterusan sehingga sekitar usia tujuh tahun.

Oleh itu, anak yang masih terkencing ketika tidur tidak semestinya mengalami masalah kesihatan.

Ramai ibu bapa mungkin menganggap keadaan ini berlaku kerana anak tidur terlalu nyenyak. Namun, terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan kencing malam.

Bagi sesetengah kanak-kanak, isyarat daripada pundi kencing mungkin tidak sampai ke otak pada waktunya. Akibatnya, mereka tidak menyedari bahawa pundi kencing sudah penuh ketika tidur.

Sesetengah kanak-kanak juga menghasilkan lebih banyak air kencing pada waktu malam akibat perubahan hormon. Tabiat menahan kencing pada waktu siang pula boleh menyebabkan masalah menjadi lebih ketara.

Dalam kebanyakan kes, keadaan ini berkaitan dengan fungsi dan koordinasi pundi kencing, bukannya masalah pada struktur organ tersebut.

Bila Ibu Bapa Perlu Mula Beri Perhatian?

Ibu bapa disarankan mendapatkan nasihat doktor sekiranya masalah kencing berlaku dengan kerap atau mula mengganggu rutin harian anak.

Antara tanda yang boleh diperhatikan ialah:

  • Perlu ke tandas dengan terlalu kerap.
  • Tidak mampu bertahan lebih daripada satu jam tanpa membuang air kecil.
  • Kerap terlepas air kencing ketika berada di rumah dan sekolah.

Masalah seperti sembelit dan jangkitan saluran kencing yang berulang juga tidak sepatutnya diabaikan kerana ia boleh berkait dengan masalah kawalan pundi kencing.

Masalah Sembelit Boleh Menjadi Punca Inkontinens Urinari

Salah satu perkara yang sering terlepas pandang apabila membincangkan inkontinens urinari ialah keadaan usus kanak-kanak.

Pundi kencing dan usus terletak berdekatan serta saling mempengaruhi antara satu sama lain. Apabila usus penuh akibat sembelit, tekanan yang dikenakan terhadap pundi kencing boleh mengurangkan kapasitinya dan menjadikannya lebih aktif.

Keadaan ini boleh menyebabkan anak lebih kerap berasa ingin membuang air kecil, sukar menahan kencing atau tidak mengosongkan pundi kencing sepenuhnya.

Dalam sesetengah kes, masalah kencing boleh bertambah baik selepas masalah sembelit ditangani.

Cara anak duduk di tandas juga boleh memainkan peranan. Jika kaki tidak mencecah lantai ketika duduk, mereka mungkin sukar mendapatkan posisi yang selesa untuk mengosongkan usus sepenuhnya.

Beberapa Tabiat Mudah Yang Boleh Diamalkan

Tidak semua masalah inkontinens urinari memerlukan rawatan perubatan dengan segera. Bagi sesetengah kanak-kanak, perubahan rutin harian yang konsisten boleh membantu mengurangkan simptom.

Ibu bapa boleh menggalakkan anak membuang air kecil secara berkala, kira-kira setiap dua hingga tiga jam. Anak juga perlu diajar supaya tidak menahan kencing terlalu lama.

Pengambilan air yang mencukupi pada awal hari juga penting. Pada masa sama, pengambilan air secara berlebihan pada waktu petang boleh dikurangkan.

Untuk memastikan fungsi usus lebih baik, pastikan pemakanan harian mengandungi serat dan anak mendapat air yang mencukupi.

Walaupun kelihatan seperti perubahan kecil, rutin yang dilakukan secara konsisten boleh membantu memperbaiki kawalan pundi kencing dan usus.

Bila Anak Memerlukan Rawatan?

Jika masalah berterusan atau mula menjejaskan keyakinan diri dan kehidupan harian anak, pemeriksaan serta rawatan perubatan mungkin diperlukan.

Rawatan bergantung kepada jenis inkontinens yang dialami, sama ada ia berlaku pada waktu siang, malam atau kedua-duanya.

Bagi masalah kencing malam, ubat tertentu mungkin dipertimbangkan terutama jika keadaan tersebut mengganggu aktiviti anak seperti lawatan sekolah, perkhemahan atau bermalam di rumah orang lain.

Ubat berkenaan berfungsi dengan meniru hormon antidiuretik semula jadi dalam badan, sekaligus membantu mengurangkan penghasilan air kencing pada waktu malam.

Bagi masalah pada waktu siang pula, rawatan biasanya memberi tumpuan kepada punca utama. Contohnya, masalah sembelit perlu ditangani terlebih dahulu. Dalam keadaan tertentu, doktor mungkin mempertimbangkan ubat untuk mengurangkan aktiviti pundi kencing.

Jika anak mengalami masalah pada waktu siang dan malam, simptom pada waktu siang biasanya akan diberi keutamaan untuk dirawat terlebih dahulu.

Namun begitu, rawatan tidak boleh disamakan untuk semua kanak-kanak. Penilaian terhadap fungsi pundi kencing perlu dilakukan sebelum sebarang ubat diberikan.

Pemeriksaan mungkin melibatkan ultrasound, kajian aliran air kencing (uroflow) dan diari pembuangan air kecil yang merekodkan waktu serta kekerapan anak membuang air kecil.

Bagi sesetengah kes kencing malam, rawatan ubat boleh diberikan dalam beberapa kitaran. Perkembangan anak kemudiannya dinilai bagi melihat keberkesanan rawatan dan sama ada ia masih diperlukan.

Selain rawatan, cara ibu bapa memberi respons terhadap masalah ini juga sangat penting.

Kanak-kanak yang kerap terkencing mungkin berasa malu, takut atau kurang yakin untuk menyertai aktiviti bersama rakan, terutama jika mereka perlu bermalam di luar rumah.

Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan tindakan memarahi, menghukum atau menyalahkan anak apabila perkara tersebut berlaku.

Secara umumnya, inkontinens urinari bukan sesuatu yang dilakukan dengan sengaja dan bukan tanda bahawa anak malas atau tidak berdisiplin. Sebaliknya, ia berkait dengan perkembangan serta fungsi sistem pundi kencing dan usus.

Ibu bapa boleh membantu dengan mewujudkan rutin yang tenang dan memberi sokongan terhadap perubahan yang cuba dilakukan oleh anak. Guru dan penjaga juga boleh memainkan peranan dengan memastikan anak mempunyai akses mudah ke tandas serta ruang yang menjaga privasi mereka.

Dengan kefahaman, kesabaran dan rawatan yang sesuai apabila diperlukan, masalah inkontinens urinari boleh diuruskan dengan lebih baik.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd