Bulan Bintang Memasuki Segmen Pakaian Sukan Menerusi Jenama Bintang Athletics

September 4, 2026
Fesyen

Lina Rosli

Selepas dikenali menerusi koleksi fesyen dan pakaian tradisional, Bulan Bintang kini melebarkan langkah ke segmen pakaian sukan dan gaya hidup aktif menerusi pengenalan sub-jenama baharu, Bintang Athletics.

Berdasarkan penawaran di laman rasmi Bintang Athletics, sub-jenama ini buat masa ini menampilkan beberapa produk yang boleh digunakan untuk aktiviti sukan mahupun kegunaan harian.

Antaranya ialah koleksi Everyday Athletics Socks, yang ditawarkan dalam pilihan sepasang serta pek tiga.

Selain itu, Bintang Athletics turut memperkenalkan Pickleball Jersey, hadir dalam beberapa rekaan iaitu Galaxy, Ignite dan Matrix – yang juga turut hadir dengan pakaian untuk wanita.

Menerusi perkongsian di Threads, Meri yang merupakan pengasas Bulan Bintang mendedahkan bahawa hampir RM500,000 telah dilaburkan untuk membangunkan Bintang Athletics. Projek yang pada asalnya dirancang secara kecil-kecilan itu akhirnya berkembang lebih besar daripada jangkaan.

Bintang Athletics juga bakal diperkenalkan menerusi acara Boom+ Run yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 12 September, sekaligus memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali sub-jenama baharu ini dengan lebih dekat.

Buat masa ini, Bintang Athletics sudah boleh dilihat menerusi laman rasmi mereka dengan beberapa pilihan produk yang ditawarkan pada harga bermula RM39 untuk stokin dan RM109 untuk baju jersi.

Bagi yang ingin melihat sendiri koleksi terbaharu ini, anda boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman rasmi Bintang Athletics.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd