Volvo EX90 Dilancarkan Pada Harga RM428,888, Tawar Jarak Sehingga 617km
Lina Rosli
Volvo Cars Malaysia kini secara rasminya mengumumkan penawaran model SUV tujuh tempat duduk mereka iaitu Volvo EX90 yang dipasang secara tempatan di Shah Alam.
Menurut Volvo, pelancaran model baharu EX90 ini menampilkan beberapa peningkatan menarik dari segi teknologi, prestasi dan juga sistem pengecasan.

Dari segi prestasi, Volvo EX90 ini hadir dengan seni bina elektrik 800V yang membolehkan pengecasan lebih pantas, selain turut dilengkapi dengan sistem komputer baharu berasaskan NVIDIA DRIVE AGX Orin yang menyokong pelbagai fungsi dalam kenderaan termasuk kemaskini secara over-the-air.
Selain itu, Volvo turut menyatakan yang mana model baharu ini turut tampil dengan sistem pacuan Twin Motor All-wheel Drive (AWD) – yang mana ia memberikan kuasa sehingga 689hp dan tork maksimum 870 Nm. Ini sekaligus menjadikan pecutan dari 0-100 km/h hanya mengambil masa hanya 4.2 saat sahaja.

Bukan itu sahaja, Volvo EX90 ini juga hadir dengan pek bateri berkapasiti 160kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 617km bagi satu pengecasan berdasarkan kitaran WLTP.
Untuk pengecasan pantas pula, Volvo EX90 menyokong pengecasan DC sehingga 350kW, dengan masa pengecasan daripada 10 sehingga 80 peratus dikatakan mengambil kira-kira 22 minit.

Dengan ini, kita dapat lihat yang mana sistem 800V yang digunakan bukan sahaja membantu mengurangkan haba ketika pengecasan, malah menjadikan keseluruhan sistem elektrik lebih ringan dan cekap.
Lebih Banyak Teknologi Untuk Keselamatan
Sebagai model mercu Volvo, aspek keselamatan masih menjadi antara fokus utama EX90.
SUV ini dilengkapi Safe Space Technology, iaitu rangkaian sistem keselamatan aktif yang menggunakan gabungan radar, sensor dan sensor ultrasonik untuk memantau keadaan di sekeliling kenderaan secara masa nyata.

Di dalam kabin pula, sistem Driver Understanding System menggunakan dua sensor inframerah untuk membantu mengesan tanda-tanda gangguan perhatian atau keletihan pada pemandu.
Jika diperlukan, sistem boleh memberikan bantuan bagi mengurangkan risiko ketika pemanduan.

Volvo EX90 turut mempunyai sistem pengesanan penghuni di seluruh kabin yang direka untuk mengesan pergerakan yang sangat kecil. Ciri ini bertujuan membantu memastikan tiada penumpang atau individu tertinggal di dalam kenderaan.
Untuk bantuan pemanduan, EX90 turut dilengkapi sistem Pilot Assist generasi baharu serta Park Pilot Assist, selain pelbagai fungsi bantuan pemanduan dan pencegahan pelanggaran.

Paparan Lebih Besar Dengan Google Services
Untuk hiburan dan navigasi, Volvo EX90 dilengkapi sistem inforia yang menyokong perkhidmatan Google seperti Google Assistant, Google Maps dan Google Play Store.
Ia juga hadir dengan tiga skrin paparan berbeza termasuklah, skrin utama 14.5 inci, skrin pemandu 9.0 inci dan sistem head-up display yang membantu memastikan maklumat penting kekal dalam pandangan pemandu.


Pengalaman dalam kabin turut dilengkapkan dengan sistem audio Bowers & Wilkins High-Fidelity Audio System.
Reka Bentuk Minimalis Dengan Sentuhan Scandinavian
Dari segi reka bentuk, Volvo EX90 mengekalkan identiti Scandinavian yang minimalis dengan permukaan badan yang lebih kemas dan reka bentuk aerodinamik.
Reka bentuk kaca yang rata serta bahagian hadapan dan belakang yang lebih membulat membantu menghasilkan bentuk yang lebih lancar untuk mengurangkan gangguan aliran udara.
Pendekatan ini bukan sahaja memberikan penampilan yang lebih moden, malah membantu menyokong kecekapan tenaga dan jarak perjalanan.

Bahagian dalamannya pula direka dengan fokus kepada keselesaan dan pengalaman yang lebih premium.
Antara cirinya ialah bumbung elektrokromik yang membolehkan jumlah cahaya semula jadi serta suhu dalam kabin dilaraskan dengan hanya menekan satu butang.



Tempat duduk menggunakan kemasan kulit Nappa berpengudaraan yang dipadankan dengan elemen kayu semula jadi.
Untuk pilihan dalaman, Volvo menawarkan kemasan Charcoal Nappa Leather dengan Light Ash atau Cardamom Nappa Leather dengan Brown Ash.

Bagi yang berminat, Volvo EX90 boleh didapati dalam lima pilihan warna luaran iaitu:
- Onyx Black
- Sand Dune
- Crystal White
- Vapour Grey
- Mulberry Red

Harga Dan Tawaran Pelancaran Volvo EX90
Volvo EX90 ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM428,888 tanpa insurans. Untuk 100 unit pertama yang ditempah, pelanggan akan menerima:
- Rebat tunai RM25,000
- Volvo Wallbox bernilai RM3,990


Untuk mula menempah, tempahan untuk Volvo EX90 kini dibuka dan pelanggan boleh membuat konfigurasi serta tempahan secara atas talian atau mengunjungi pengedar Volvo yang sah di seluruh Malaysia.