Bagaimana Kortisol Mempengaruhi Berat Badan? Ini Yang Perlu Anda Tahu

September 8, 2026
Kesihatan

Lina Rosli

Ramai menganggap perubahan berat badan berpunca daripada apa yang kita makan atau sejauh mana kita bersenam.

Namun, ada ketika berat badan tetap meningkat walaupun rutin harian tidak banyak berubah. Pemakanan masih dijaga, aktiviti fizikal dilakukan dan waktu tidur juga mencukupi.

Dalam keadaan seperti ini, mungkin ada faktor lain yang turut mempengaruhi tubuh. Tekanan yang berpanjangan, misalnya, boleh memberi kesan kepada hormon dan metabolisme sehingga mempengaruhi cara tubuh menyimpan tenaga serta mengawal berat badan.

Menurut Dr. Chan Pei Lin dan Dr. Ida Ilyani Binti Adam, Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan di Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD), tekanan yang berpanjangan boleh mempengaruhi keseimbangan hormon serta cara tubuh menguruskan tenaga.

Apa Yang Berlaku Kepada Tubuh Apabila Kita Tertekan?

Apabila berdepan tekanan, tubuh akan menghasilkan hormon yang dikenali sebagai kortisol. Hormon ini dihasilkan oleh kelenjar adrenal dan merupakan sebahagian daripada tindak balas semula jadi tubuh terhadap tekanan.

Sebenarnya, kortisol bukanlah hormon yang buruk. Dalam keadaan tertentu, ia membantu tubuh bertindak balas apabila berdepan situasi yang mencabar.

Sebagai contoh, kortisol membantu meningkatkan bekalan gula dalam darah supaya tubuh mempunyai tenaga yang mencukupi untuk bertindak balas terhadap tekanan.

Masalah boleh timbul apabila tekanan berlaku terlalu kerap atau berpanjangan.

Menurut Dr. Chan, paras kortisol yang tinggi dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan tubuh menjadi kurang sensitif terhadap insulin dan meningkatkan paras gula dalam darah. Ia juga boleh mempengaruhi cara tubuh menyimpan dan menggunakan lemak.

Apabila keadaan ini berlaku bersama pengambilan kalori yang berlebihan, lemak lebih mudah terkumpul di bahagian abdomen atau perut.

Mengapa Lemak Di Bahagian Perut Perlu Diberi Perhatian?

Lemak yang terkumpul di sekitar organ dalaman dikenali sebagai lemak viseral. Berbanding lemak yang berada di bawah kulit, lemak viseral lebih berkait dengan masalah kesihatan metabolik.

Tekanan yang berulang serta paras kortisol yang tinggi boleh menyumbang kepada peningkatan lemak viseral.

Dalam jangka panjang, lebihan lemak ini dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan seperti rintangan insulin, paras gula dalam darah yang tinggi, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tidak normal.

Menariknya, seseorang tidak semestinya kelihatan mempunyai berat badan berlebihan untuk mempunyai lebihan lemak viseral.

Sebab itu, selain melihat berat badan dan indeks jisim badan (BMI), ukuran lilit pinggang juga boleh memberikan gambaran tambahan tentang kesihatan seseorang.

Tekanan berpanjangan juga boleh menunjukkan kesan lain pada tubuh seperti:

  • tidur yang terganggu
  • tekanan darah meningkat
  • ketegangan otot
  • masalah penghadaman
  • masalah kulit
  • perubahan pada kitaran haid

Bagaimanapun, gejala-gejala ini tidak semestinya berpunca daripada tekanan. Jika ia berterusan atau semakin teruk, pemeriksaan doktor mungkin diperlukan untuk mengetahui punca sebenar.

Bukan Kortisol Sahaja Yang Mempengaruhi Berat Badan

Apabila bercakap tentang hormon dan berat badan, kortisol bukanlah satu-satunya perkara yang perlu diberi perhatian.

Insulin, contohnya, membantu mengawal paras gula dalam darah dan bagaimana tubuh menyimpan tenaga. Sementara itu, leptin membantu memberitahu otak bahawa tubuh sudah kenyang.

Menurut Dr. Ida, masalah berkaitan hormon ini biasanya dipengaruhi oleh beberapa faktor dan bukannya satu punca sahaja.

Lebihan lemak badan, khususnya di bahagian abdomen, kurang melakukan aktiviti fizikal, pemakanan yang kurang sihat dan tidur yang tidak mencukupi boleh menyumbang kepada masalah tersebut.

Faktor lain seperti genetik, usia, ubat-ubatan dan keadaan kesihatan tertentu juga boleh memainkan peranan.

Apabila seseorang mengalami rintangan insulin, tubuh perlu menghasilkan lebih banyak insulin untuk membantu mengawal paras gula dalam darah. Jika keadaan ini berterusan, risiko untuk mengalami pradiabetes dan diabetes jenis 2 boleh meningkat.

Begitu juga dengan leptin. Individu yang mengalami obesiti biasanya mempunyai paras leptin yang tinggi, tetapi tubuh mungkin kurang memberi tindak balas terhadap isyarat kenyang yang dihantar oleh hormon tersebut. Keadaan ini dikenali sebagai rintangan leptin.

Jadi, perubahan berat badan bukan semata-mata soal disiplin atau kemahuan seseorang.

Perkara ini juga penting untuk diberi perhatian di Malaysia. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, 54.4 peratus orang dewasa mengalami berat badan berlebihan atau obes, manakala 54.5 peratus mengalami obesiti abdomen.

Bagaimana Pula Dengan Masalah Tiroid?

Selain hormon yang berkait dengan tekanan dan metabolisme, kelenjar tiroid juga sering dikaitkan dengan perubahan berat badan.

Tiroid yang kurang aktif boleh menyebabkan seseorang berasa lebih letih dan mengalami sedikit peningkatan berat badan.

Oleh itu, jika berat badan meningkat tanpa sebab yang jelas, ia tidak sepatutnya terus dianggap berpunca daripada masalah tiroid atau kortisol.

Doktor biasanya akan melihat keadaan seseorang secara menyeluruh, termasuk simptom yang dialami seperti sejarah kesihatan, pengambilan ubat dan keadaan metabolik sebelum menentukan sama ada pemeriksaan hormon diperlukan.

Bila Kenaikan Berat Badan Perlu Diperiksa?

Berat badan yang meningkat dan rasa letih adalah perkara yang biasa berlaku. Kedua-duanya juga tidak semestinya bermaksud seseorang mempunyai masalah berkaitan kortisol.

Namun, pemeriksaan lanjut mungkin diperlukan jika berat badan meningkat dengan cepat, berlaku tanpa sebab yang jelas atau disertai beberapa perubahan fizikal lain.

Salah satu keadaan yang mungkin diperiksa ialah sindrom Cushing, iaitu masalah kesihatan yang jarang berlaku akibat tubuh terdedah kepada paras kortisol yang terlalu tinggi dalam tempoh yang lama.

Jika pemeriksaan diperlukan, doktor biasanya akan bermula dengan melihat sejarah kesihatan dan melakukan pemeriksaan fizikal. Ujian darah juga mungkin dilakukan untuk memeriksa paras gula, kolesterol dan fungsi tiroid.

Ujian kortisol khusus pula hanya dilakukan jika terdapat tanda-tanda yang menimbulkan kecurigaan terhadap masalah berkaitan hormon.

Ini kerana paras kortisol berubah sepanjang hari dan boleh dipengaruhi oleh tekanan. Jadi, satu bacaan kortisol sahaja tidak semestinya dapat menentukan sama ada seseorang mempunyai masalah hormon atau tidak.

Elakkan Daripada Terlalu Fokus Untuk Turunkan Kortisol

Bagi individu yang tidak mempunyai masalah berkaitan hormon, menguruskan tekanan bukan bermaksud perlu mencari cara untuk “menurunkan kortisol” dengan cepat.

Sebaliknya, lebih penting untuk membantu tubuh mendapatkan semula rutin yang sihat dan seimbang.

Antara perkara asas yang boleh dilakukan ialah mendapatkan tidur yang mencukupi, makan secara teratur, kekal aktif dan mencari cara yang sesuai untuk menguruskan tekanan.

Ia tidak semestinya melibatkan perubahan besar. Berjalan kaki, meluangkan masa di luar rumah atau melakukan aktiviti yang membantu tubuh dan minda berehat juga boleh menjadi sebahagian daripada rutin harian.

Namun, jika berat badan terus meningkat walaupun perubahan gaya hidup telah dilakukan secara konsisten selama beberapa minggu hingga beberapa bulan, atau kenaikan berlaku dengan cepat dan disertai simptom lain, pemeriksaan doktor boleh dipertimbangkan lebih awal.

Akhir sekali, keletihan yang ketara, otot menjadi lemah, mudah mengalami lebam tanpa sebab yang jelas atau perubahan pada tekanan darah dan paras gula dalam darah juga antara tanda yang wajar diberi perhatian.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd