Apa Itu Laksa? Mengapa Kebanyakan Negeri Di Malaysia Mempunyai Laksa Yang Berbeza?

September 15, 2026
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Bila bercakap tentang makanan Malaysia, laksa antara hidangan yang paling mudah menunjukkan betapa pelbagai dan uniknya citarasa setiap negeri.

Walaupun menggunakan nama yang sama, laksa di Pulau Pinang tidak semestinya mempunyai rasa yang sama dengan laksa di Kedah, Terengganu, Kelantan, Johor atau Sarawak.

Untuk pengetahuan anda, di Malaysia, terdapat dua jenis kategori laksa, iaitu:

  • laksa berasaskan ikan dan asam
  • laksa berasaskan santan dan kari

Secara umumnya, laksa ialah hidangan mi yang disajikan bersama kuah berempah – sama ada berasaskan ikan, santan atau gabungan pelbagai bahan tempatan.

Laksa juga biasanya dilengkapkan dengan ulam-ulaman, herba, sambal dan bahan perasa yang membantu menambahkan rasa pada hidangan.

Dan kepelbagaian laksa ini sebenarnya berkembang seiring dengan sejarah dan budaya masyarakat di rantau Nusantara, termasuk pengaruh masakan Melayu, Cina, Peranakan serta penggunaan rempah-ratus yang menjadi sebahagian daripada tradisi makanan Asia Tenggara.

Dua Gaya Kuah Laksa Yang Paling Dikenali

Seperti yang dinyatakan pada awal artikel, laksa ini dibezakan melalui dua gaya kuah utama, iaitu laksa berasaskan asam dan laksa berasaskan santan.

Laksa asam biasanya menggunakan ikan sebagai asas kuah, bersama bahan seperti serai, bunga kantan, daun kesum dan cili.

Ia juga ditambah dengan bahan pemasam seperti asam gelugur atau asam jawa pula memberikan rasa masam yang menjadi ciri utama hidangan ini.

Kuahnya biasanya lebih ringan, tetapi mempunyai rasa ikan, herba dan cili yang cukup kuat. Asam laksa Pulau Pinang merupakan antara contoh yang paling popular dalam kategori ini.

Berbeza pula dengan laksa berasaskan santan yang mempunyai rasa lebih lemak dan berkrim. Santan digabungkan dengan ikan serta pelbagai rempah mengikut resipi tempatan, menghasilkan kuah yang lebih pekat dan beraroma.

Laksa Terengganu Kuah Putih dan laksam Kelantan misalnya menggunakan kuah yang berasaskan santan, tetapi kedua-duanya masih mempunyai ciri dan cara penyediaan tersendiri.

#1 Asam Laksa, Masam Dan Pedas

Kalau sebut sahaja asam laksa, ramai mungkin terus teringat kepada Laksa Penang.

Hidangan ini menggunakan laksa beras bersama kuah ikan yang dimasak dengan cili, serai, bunga kantan dan daun kesum. Bahan pemasam pula memberikan rasa masam yang menyegarkan, manakala ikan memberikan rasa yang lebih berlemak dan berisi pada kuah.

Asam laksa biasanya dihidangkan bersama timun, bawang besar, cili, bunga kantan dan daun kesum. Petis udang atau otak udang juga sering digunakan sebagai pelengkap untuk memberikan rasa yang lebih kuat.

Gabungan rasa masam, pedas, sedikit manis dan rasa ikan menjadikan asam laksa Pulau Pinang cukup mudah dikenali.

#2 Laksa Utara, Kuah Ikan Dengan Pelbagai Pelengkap

Di Kedah dan Perlis pula, laksa merupakan antara hidangan yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat.

Laksa Utara biasanya menggunakan laksa beras bersama kuah ikan yang mempunyai rasa masam dan pedas. Cara penyediaan boleh berbeza mengikut kawasan, termasuk dari segi jenis ikan dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan kuah.

Hidangan ini turut dilengkapkan dengan pelbagai ulam dan bahan segar seperti daun selasih, daun sekentut, cili serta telur rebus.

Walaupun kuahnya kelihatan lebih ringkas, rasa ikan, bahan pemasam dan ulam yang digunakan menjadikan laksa dari kawasan utara mempunyai identitinya sendiri.

#3 Laksa Terengganu, Ada Kuah Putih dan Kuah Merah

Beralih ke Pantai Timur, Laksa Terengganu pula mempunyai keistimewaan kerana hadir dalam dua gaya kuah yang popular, iaitu Kuah Putih dan Kuah Merah.

Laksa Kuah Putih menggunakan santan dan isi ikan sebagai asas, dengan lada hitam yang memberikan aroma serta rasa pedas yang tersendiri. Kuahnya lebih lemak dan berkrim berbanding laksa yang menggunakan kuah asam.

Sementara itu, Kuah Merah menggunakan cili dan rempah untuk menghasilkan kuah yang lebih berwarna dan mempunyai rasa yang lebih kuat.

Kedua-dua versi ini biasanya dinikmati bersama bahan segar seperti timun, kubis dan daun kesum. Sambal turut disediakan sebagai pelengkap bagi mereka yang gemarkan rasa lebih pedas.

#4 Laksa Kelantan Atau Laksam, Kuah Santan Yang Pekat

Kelantan pula mempunyai laksam, iaitu hidangan yang sering dikaitkan dengan masakan tradisional negeri tersebut.

Berbeza daripada laksa beras yang berbentuk mi, laksam dibuat daripada adunan tepung beras yang dikukus menjadi kepingan lebar sebelum digulung dan dipotong.

Ia kemudiannya dihidangkan bersama kuah putih yang menggunakan ikan dan santan. Kuah yang lemak ini biasanya dilengkapkan dengan ulam-ulaman yang dihiris halus seperti timun, kacang panjang, daun kesum dan bunga kantan.

Sambal pula ditambah mengikut citarasa untuk memberikan rasa pedas dan membantu mengimbangi kuah yang berlemak.

#5 Laksa Johor, Menggunakan Spageti

Kalau kebanyakan laksa menggunakan laksa beras, bihun atau mi, Laksa Johor pula mempunyai satu ciri yang terus membezakannya — spageti digunakan sebagai ganti mi laksa.

Kuahnya pekat dan disediakan menggunakan isi ikan bersama santan serta campuran rempah. Ikan parang sering digunakan dalam penyediaannya, walaupun resipi boleh berbeza mengikut keluarga atau tempat.

Laksa Johor biasanya dihidangkan bersama timun, tauge, daun kesum dan bunga kantan. Sambal belacan serta perahan limau kasturi pula memberikan rasa pedas dan masam yang melengkapkan hidangan.

Satu lagi keunikan Laksa Johor ialah cara menikmatinya. Secara tradisi, hidangan ini sering dimakan menggunakan tangan.

#6 Laksa Sarawak, Kaya Dengan Rempah

Di Sarawak pula, kita mempunyai Laksa Sarawak yang terkenal dengan pes rempah khasnya.

Kuah Laksa Sarawak mempunyai rasa rempah yang kompleks dan aroma tersendiri. Ia biasanya dihidangkan bersama bihun serta bahan seperti udang, isi ayam dan telur dadar yang dihiris halus.

Selain itu, ia juga dilengkapkan dengan taugeh, sambal belacan dan limau kasturi turut menjadi antara pelengkap yang biasa disediakan bersama hidangan ini.

Berbanding asam laksa yang lebih menonjolkan rasa masam dan ikan, atau laksa santan yang lebih lemak, Laksa Sarawak mempunyai karakter tersendiri hasil campuran rempah yang digunakan.

Mengapa Laksa Setiap Negeri Berbeza?

Perbezaan antara laksa di setiap negeri banyak dipengaruhi oleh bahan tempatan, geografi dan tradisi masakan masyarakat setempat.

Kawasan yang mempunyai sumber ikan dan hasil laut yang banyak misalnya lebih mudah menggunakan ikan sebagai asas kuah. Penggunaan santan, herba, cili dan rempah pula berkembang mengikut bahan yang mudah diperoleh serta citarasa masyarakat di sesuatu kawasan.

Sebab itu, tidak pelik jika laksa di utara lebih sinonim dengan kuah ikan yang masam dan pedas, manakala beberapa versi laksa di Pantai Timur lebih menonjolkan rasa santan yang lemak.

Dengan ini, kita dapat lihat yang mana dalam satu hidangan yang sama, kita boleh melihat bagaimana bahan tempatan dan pengaruh budaya menghasilkan rasa yang berbeza dari satu negeri ke negeri yang lain.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd