Beg Birkin Pertama Hermès Milik Jane Birkin Terjual Lebih RM47 Juta
Lina Rosli
Bagi anda yang mengikuti perkembangan dunia beg tangan mewah, khususnya daripada jenama Hermès, pasti sudah tidak asing lagi dengan model Birkin.
Beg tangan ikonik ini bukan sahaja terkenal kerana reka bentuknya yang eksklusif, malah sering menjadi antara koleksi mewah yang paling diidamkan.
Namun, tahukah anda bahawa beg Birkin yang pertama pernah dihasilkan mempunyai sejarah yang cukup istimewa? Lebih menarik, beg asal yang pernah dimiliki oleh Jane Birkin itu mencatat rekod dunia selepas terjual pada harga lebih RM47 juta dalam sebuah lelongan.

Untuk pengetahuan anda, beg yang dihasilkan pada tahun 1985 itu berjaya mencatat rekod sebagai beg tangan paling mahal pernah dijual di lelongan, selepas dibida menerusi Sotheby’s di Paris, Perancis pada 10 Julai 2025.
Menariknya, beg bersejarah ini kini bukan sekadar menjadi koleksi peribadi. Ia telah dibeli oleh syarikat Jepun, Valuence Japan Inc., yang memilih untuk mempamerkannya kepada orang ramai menerusi sebuah pameran khas selama tiga hari di Shinsaibashi, Osaka.
Syarikat yang membeli dan menjual semula barangan mewah itu turut memaklumkan bahawa beg berkenaan tidak akan dijual semula untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya, ia akan dipelihara sebagai sebahagian daripada warisan budaya dan sejarah fesyen, selain memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri salah satu beg tangan paling ikonik dalam sejarah.

Beg Yang Menjadi Asal Usul Nama Birkin
Di sebalik harga puluhan juta ringgit itu, terdapat sebuah kisah menarik tentang bagaimana beg Birkin sebenarnya tercipta.
Pada tahun 1981, Jane Birkin secara tidak sengaja duduk bersebelahan dengan Jean-Louis Dumas, yang ketika itu merupakan ketua eksekutif Hermès, dalam sebuah penerbangan.
Ketika itu, Jane membawa sebuah beg jerami yang dipenuhi dengan pelbagai barangan keperluannya. Namun, berlaku satu insiden yang menyebabkan kandungan beg tersebut tertumpah keluar.

Daripada situ, Jane berkongsi dengan Dumas bahawa beg tangan kulit yang biasa digunakannya terlalu kecil untuk memuatkan semua barangan yang diperlukan, lebih-lebih lagi sebagai seorang ibu yang perlu membawa pelbagai keperluan bersamanya setiap hari.
Dumas kemudiannya melakar idea sebuah beg baharu untuk Jane pada bahagian belakang beg kertas yang disediakan di dalam pesawat.
Daripada lakaran ringkas itu, tercetuslah idea untuk menghasilkan sebuah beg yang lebih besar, praktikal dan sesuai dengan keperluan Jane.
Hermès kemudiannya menyiapkan beg pertama tersebut pada tahun 1985 dan menamakannya sempena nama Jane Birkin.
Sejak itu, Birkin berkembang menjadi antara beg tangan paling dikenali dalam dunia fesyen dan sering dikaitkan dengan kemewahan serta eksklusiviti.

Apa Yang Membuatkan Beg Ini Begitu Istimewa?
Walaupun kelihatan seperti sebuah beg Birkin klasik, beg milik Jane Birkin ini sebenarnya mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada model Birkin lain.
Ia merupakan satu-satunya beg Birkin rasmi yang dihasilkan dengan tali bahu kekal. Pada bahagian hadapan pula terdapat ukiran inisial “J.B.” yang merujuk kepada Jane Birkin.

Di dalam beg tersebut turut terdapat pemotong kuku kecil yang digantung pada rantai. Ia dikatakan disimpan oleh Jane kerana dia gemar memastikan kukunya sentiasa terjaga.
Saiz beg ini juga unik kerana ia menggabungkan ketinggian beg bersaiz 35 dengan kedalaman model bersaiz 40.
Tidak sekadar itu, beg Birkin milik Jane ini juga menggunakan material logam yang berbeza daripada kebanyakan beg Birkin lain. Ia menggunakan loyang bersadur emas dengan gelang logam tertutup.