Emirates Memperkenalkan Kerusi Dengan Skrin Privasi Boleh Laras Untuk Kabin Ekonomi Premium

September 10, 2026
Pesawat

Lina Rosli

Bagi yang gemarkan ruang peribadi ketika berada di dalam pesawat, Emirates kini menawarkan satu lagi peningkatan pada kabin Premium Economy menerusi kerusi baharu yang dilengkapi skrin privasi ketinggian penuh boleh laras.

Penawaran ini hadir pada pesawat Airbus A350 baharu Emirates yang mana kerusi ini dikatakan menjadi kerusi Premium Economy elektrik pertama di dunia yang hadir dengan skrin privasi pada setiap tempat duduk.

Skrin tersebut boleh dinaikkan atau diturunkan menggunakan kawalan pada kerusi dan dikunci pada kedudukan yang diingini.

Dengan ciri ini, penumpang boleh mewujudkan ruang yang lebih peribadi ketika mahu berehat, makan atau bekerja sepanjang penerbangan.

Untuk pengetahuan anda, kabin Premium Economy Emirates pada Airbus A350 mempunyai konfigurasi 2-3-2 dengan hanya 28 tempat duduk yang mana setiap kerusi mempunyai lebar sehingga 20 inci dengan jarak antara tempat duduk sehingga 39 inci.

Kerusi juga boleh dilaraskan secara elektrik menerusi kawalan secara terbina, termasuk tetapan khusus seperti lounge mode dan meal mode.

Untuk menambah keselesaan ketika berehat, kerusi ini turut boleh direbahkan ke posisi cradle tanpa mengambil ruang berlebihan sehingga mengganggu penumpang di barisan belakang.

Emirates turut melengkapkan kerusi ini dengan U-Dream headrest daripada Safran Seats yang diperbuat daripada kulit.

Bahagian sokongan kepala dan leher tersebut boleh dilaraskan mengikut posisi yang diingini, manakala tempat letak kaki daripada kulit pula boleh digunakan untuk memberikan sokongan tambahan kepada kaki.

Buat pertama kalinya dalam kabin Premium Economy Emirates, penumpang turut boleh menggunakan pengecasan secara nirwayar untuk peranti yang serasi.

Setiap kerusi juga dilengkapi port pengecasan USB-C serta meja dengan pemegang telefon. Jadi, telefon boleh diletakkan pada kedudukan yang lebih mudah dilihat ketika menikmati hidangan atau menggunakan peranti sebagai skrin kedua.

Bagi hiburan dalam penerbangan pula, penumpang boleh mengakses sistem ice Emirates menerusi skrin sentuh 13.3 inci dengan resolusi 4K HDR.

Pesawat Airbus A350 baharu ini turut menawarkan paparan kamera luaran yang dipertingkatkan. Selain kamera menghadap ke hadapan dan ke bawah yang sedia ada, penumpang kini boleh melihat pandangan dari bahagian kiri dan kanan pesawat.

Kit Kemudahan Dengan Produk Penjagaan Kulit Aveda

Bagi penerbangan jarak jauh, penumpang Premium Economy turut menerima kit kemudahan boleh guna semula – menerusi kerjasama Emirates dengan United for Wildlife.

Kit tersebut hadir dalam empat rekaan yang menampilkan haiwan terancam daripada empat habitat semula jadi berbeza. Ia turut dilengkapi produk penjagaan kulit berasaskan tumbuhan daripada Aveda, selain keperluan perjalanan seperti stoking, penutup mata, penyumbat telinga dan kit pergigian.

Dengan pengenalan kerusi baharu ini, Emirates terus memperluaskan ciri Premium Economy yang mula diperkenalkan pada 2022.

Gabungan ruang tempat duduk yang lebih luas, skrin privasi setinggi penuh, pelarasan elektrik serta kemudahan pengecasan menjadikan pengalaman Premium Economy ini lebih selesa – lebih-lebih lagi untuk perjalanan jauh.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd