I’m donut? Kini Dibuka Di The Exchange TRX, Tawar Lebih 30 Perisa Donut Termasuk Perisa Eksklusif Malaysia
Lina Rosli
Jenama donut popular dari Jepun, I’m donut?, kini secara rasmi membuka pintunya di Malaysia menerusi cawangan pertamanya di The Exchange TRX, Kuala Lumpur.
Menariknya, pembukaan di The Exchange TRX ini turut menandakan kehadiran pertama I’m donut? di Asia Tenggara.

Untuk anda yang ingin mencuba, kedai ini akan mula dibuka kepada orang ramai pada 12 September 2026 – yang mana menawarkan pelbagai pilihan nama donut ikonik serta pelbagai perisa yang dicipta khusus untuk pasaran Malaysia.
Bagi yang tidak mengetahui, nama donut (生ドーナツ) merupakan sejenis donut popular dari Jepun yang terkenal dengan teksturnya yang sangat lembut, ringan dan seakan-akan cair di dalam mulut.
Berbanding donut biasa yang lebih padat, nama donut memberikan tekstur yang lebih lembut dan gebu, menjadikannya antara tarikan utama dalam sajian I’m donut?.


Untuk pembukaan di Kuala Lumpur, pelanggan boleh mencuba beberapa pilihan ikonik seperti I’m donut? Original, Nama French Cruller, Pistachio Cream, Cacao dan Custard.
Secara keseluruhan, terdapat lebih 30 pilihan perisa yang ditawarkan, memberikan pelanggan peluang untuk mencuba pelbagai kombinasi rasa dan tekstur.

I’m donut? Menampilkan Perisa Khas Untuk Malaysia
Menariknya, pembukaan di Malaysia turut disertakan dengan beberapa pilihan yang dihasilkan khusus untuk citarasa tempatan.
Menurut cef dan pemilik I’m donut?, Ryouta Hirako, terdapat sedikit perbezaan pada doh yang digunakan untuk pasaran Malaysia berbanding di Jepun. Jika cawangan di Jepun menggunakan doh yang dicampurkan dengan labu, I’m donut? di Malaysia pula menggunakan doh dengan campuran pisang.

Menariknya, semua hidangan yang ditawarkan oleh I’m donut? di Malaysia turut disediakan menggunakan bahan-bahan yang diperakui Halal, memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan tempatan untuk mencuba pelbagai sajian daripada jenama donut Jepun ini.


Antara perisa eksklusif Malaysia yang boleh ditemui ialah Cham, Hojicha Kaya Jam, Milo Glazed, Masala Chicken, Banana Fritter Caramel dan Pandan Coconut Cream.
Untuk donut yang disajikan, ia ditawarkan pada harga bermula RM4.80 sebiji – dan boleh mencecah sehingga RM11.50 sebiji.


Selain daripada donut, I’m donut? turut hadir dengan barisan cenderahati eksklusif seperti baju, stokin, cawan, rantai kunci dan banyak lagi.
Bagi yang ingin mencubanya, I’m donut? Kuala Lumpur dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam di GS.05.0, The Exchange TRX.