Samsung Galaxy Z Fold8: Apa Yang Anda Ingin Tahu? Ini Jawapan Saya

September 28, 2026
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Jika anda sedang mempertimbangkan untuk membeli sebuah telefon skrin lipat, Samsung Galaxy Z Fold8 boleh dikatakan antara pilihan terbaik yang tersedia ketika ini.

Dengan harga bermula RM7,299, sudah tentu pembelian peranti ini bukan keputusan yang dibuat secara terburu-buru.

Persoalannya bukan sekadar mengenai spesifikasi atau kemampuan untuk dilipat, tetapi lebih kepada sejauh mana ia benar-benar praktikal untuk digunakan sebagai telefon utama.

“Adakah skrin luar selesa untuk kegunaan harian?”

“Perlukah skrin dalam dibuka setiap kali ingin melakukan sesuatu?”

“Bagaimana pula dengan kamera, bateri, gaming dan aplikasi media sosial?“

Selepas menggunakannya sebagai peranti harian, saya cuba menjawab beberapa persoalan yang mungkin menjadi pertimbangan anda sebelum membuat keputusan untuk memiliki Samsung Galaxy Z Fold8.

#1 Adakah Samsung Galaxy Z Fold8 selesa digunakan sebagai telefon utama?

Ya. Malah, ini antara perkara yang paling menarik perhatian saya sepanjang menggunakan Z Fold8.

Pada awalnya, saya memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan reka bentuknya yang lebih lebar berbanding generasi sebelumnya. Namun, lama-kelamaan, saya merasakan bentuk petak yang lebih lebar ini sebenarnya lebih selesa dan tidak memenatkan tangan.

Bukan itu sahaja, untuk skrin luar juga, disebabkan saiznya lebih lebar, aktiviti seperti membalas mesej, menyemak e-mel, melayari laman web dan menggunakan media sosial sebenarnya lebih selesa.

Ini kerana ruang skrin tidak kelihatan sempit. Malah, saya mendapati kebanyakan aktiviti harian sebenarnya boleh dilakukan tanpa membuka skrin dalam.

Sepanjang tempoh penggunaan, saya lebih kerap menggunakan Z Fold8 dalam keadaan tertutup. Skrin dalam hanya dibuka apabila saya memerlukan ruang tambahan untuk menonton video, membaca atau melakukan beberapa tugasan pada masa yang sama.

Bagi saya, ini menjadikan Z Fold8 lebih praktikal kerana ia tidak memaksa pengguna membuka peranti setiap kali mahu menggunakannya.

#2 Adakah skrin luar Samsung Galaxy Z Fold8 terlalu kecil?

Tidak, tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu dibiasakan.

Walaupun skrin luarnya hanya berukuran 5.5-inci, nisbah yang lebih lebar menjadikan pengalaman menaip dan membaca lebih selesa berbanding generasi terdahulu.

Saya juga menyukai reka bentuk skrin yang lebih berkotak dengan bezel yang nipis. Bentuk ini membuatkan kandungan kelihatan lebih kemas kerana paparan tidak terlalu terganggu oleh bucu skrin yang membulat, terutama ketika melihat gambar atau kandungan dalam format tertentu.

Namun begitu, nisbah skrin yang lebih pendek turut membawa sedikit kompromi dari segi pengalaman penggunaan. Ada sesetengah kandungan yang tidak dapat dipaparkan sepenuhnya dan kelihatan seperti terpotong pada bahagian atas.

Sebagai contoh, kandungan Instagram dalam format potret tertentu kadangkala tidak dapat dipaparkan sepenuhnya pada skrin luar.

Begitu juga ketika membalas mesej yang panjang, pengalaman menaip terasa sedikit kurang selesa kerana ruang paparan menjadi lebih terhad apabila keyboard muncul di bahagian bawah skrin.

#3 Bila skrin dalam Samsung Galaxy Z Fold8 benar-benar diperlukan?

Apabila anda memerlukan ruang paparan yang lebih luas.

Skrin dalam berukuran 7.6-inci paling berguna ketika menonton YouTube atau Netflix, membaca e-buku dan komik serta bermain permainan.

Bagi saya, Samsung galaxy Z Fold8 merupakan antara peranti yang sangat sesuai untuk membaca komik dan ebuku.

Saiz skrinnya memberikan pengalaman seperti membaca buku kecil, tetapi boleh dilipat semula apabila selesai digunakan.

Ia juga membantu ketika melakukan multitugasan. Dengan ciri Multi Window, sehingga tiga aplikasi boleh dipaparkan pada masa yang sama mengikut susunan yang dipilih.

Jadi, skrin besar pada Z Fold8 bukan sekadar untuk menunjukkan bahawa ia sebuah telefon lipat. Dalam penggunaan sebenar, ia memang mempunyai fungsi tersendiri.

#4 Adakah Samsung Z Fold8 sesuai untuk bekerja?

Sesuai untuk kerja ringan hingga sederhana, khususnya ketika anda tidak mahu membawa komputer riba.

Membalas e-mel, menyemak dokumen, membuka beberapa aplikasi dan melakukan suntingan ringkas terasa lebih mudah apabila mempunyai ruang skrin yang lebih luas.

Taskbar yang tersedia pada One UI 9 juga membantu kerana saya boleh bertukar antara aplikasi dengan pantas.

Namun begitu, saya tidak melihat Samsung Galaxy Z Fold8 sebagai pengganti komputer riba sepenuhnya.

Untuk tugasan yang memerlukan banyak menaip atau perlu dilakukan dalam tempoh yang panjang, komputer riba masih menawarkan pengalaman yang lebih selesa dan praktikal.

Tetapi jika anda keluar bekerja, menghadiri mesyuarat atau sekadar mahu melakukan beberapa tugasan ketika berada di luar, Samsung Galaxy Z Fold8 boleh mengurangkan keperluan untuk membawa peranti tambahan.

#5 Bagaimana pula dengan pengalaman menaip?

Lebih selesa daripada jangkaan saya.

Papan kekunci Samsung pada skrin luar terasa cukup selesa untuk digunakan, terutama kerana susunan hurufnya lebih dekat dan mudah dicapai ketika menaip dengan satu tangan.

Namun, apabila telefon dibuka pada skrin yang lebih besar, susunan papan kekunci yang menjadi lebih lebar membuatkan kedudukan huruf terasa sedikit terpisah.

Pada awalnya, ia agak janggal dan memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri.

#6 Adakah Samsung Galaxy Z Fold8 sesuai dengan gaya hidup Gen Z atau warga korporat?

Pada saya, Z Fold8 sesuai untuk kedua-duanya, terutama bagi mereka yang memerlukan satu peranti untuk kegunaan peribadi dan kerja.

Bagi generasi muda, telefon pintar kini digunakan untuk pelbagai perkara. Ini termasuklah menguruskan media sosial, menghasilkan kandungan dan berkomunikasi, hinggalah menonton video, bermain permainan serta membaca.

Dalam masa yang sama, golongan profesional memerlukan peranti yang boleh menyokong tugasan seperti mengurus e-mel, menyemak dokumen, menghadiri mesyuarat atau menyelesaikan kerja ketika berada di luar pejabat.

Oleh itu, Samsung Galaxy Z Fold8 ini boleh dikatakan cukup untuk memenuhi keperluan ini menerusi dua saiz skrin yang boleh digunakan mengikut keadaan.

Skrin luar lebih praktikal untuk perkara ringkas seperti membalas mesej, menyemak notifikasi dan melayari media sosial, manakala skrin dalam memberikan ruang yang lebih luas untuk membaca, menonton kandungan atau melakukan beberapa tugasan serentak.

#7 Adakah Z Fold8 sesuai untuk gaming?

Ya, dan prestasinya lebih baik daripada yang saya jangkakan.

Samsung Galaxy Z Fold8 menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy bersama 12GB RAM untuk model yang diuji.

Sepanjang penggunaan, saya boleh bermain Asphalt pada tetapan MAX dengan kadar bingkai tinggi. Selepas beberapa sesi permainan, peranti hanya terasa sedikit panas, tetapi tidak menunjukkan masalah prestasi.

Skrin dalam yang besar turut memberikan kelebihan ketika bermain kerana ruang paparan yang lebih luas menjadikan kawalan pada skrin lebih mudah dilihat.

#8 Bagaimana pula dengan kualiti kameranya?

Kamera Z Fold8 cukup baik untuk kegunaan harian, tetapi bukan kekuatan utamanya.

Peranti ini dilengkapi kamera utama 50MP dan kamera ultra lebar 50MP. Dalam kebanyakan situasi, gambar yang dirakam kelihatan tajam, terang dan memuaskan.

Untuk mengambil gambar makanan, rakan-rakan, pemandangan atau menghasilkan kandungan untuk media sosial, prestasinya sudah memadai.

Namun harus diingatkan, Samsung Galaxy Z Fold8 tidak mempunyai kamera telefoto optikal.

Pada zum 2x, hasil gambar masih baik. Tetapi apabila menggunakan zum 4x, ketajaman mula berkurangan. Pada zum 10x pula, kualiti gambar semakin jelas merosot.

#9 Adakah baterinya mampu bertahan sepanjang hari?

Ya, untuk penggunaan biasa.

Untuk pengetahuan anda, Samsung Galaxy Z Fold8 mempunyai bateri 4,800mAh dengan pengecasan berwayar 45W.

Dalam penggunaan biasa, hayat bateri sekitar 15 hingga 18 jam boleh dicapai. Jika skrin dalam digunakan secara berterusan, tempohnya boleh berkurangan kepada sekitar enam jam.

Bagi saya, ketahanan ini sudah memadai untuk kegunaan harian.

Pengecasan semula menggunakan pengecas 45W pula mengambil masa sekitar satu jam. Cuma, kepala pengecas tidak disertakan dalam kotak pembelian.

#10 Adakah kesan lipatan pada skrin mengganggu?

Pada awalnya saya perasan, tetapi lama-kelamaan ia bukan lagi satu masalah.

Pada minggu pertama, kesan lipatan pada skrin dalam masih kelihatan apabila dilihat dari sudut tertentu.

Selepas kira-kira dua minggu, saya hampir tidak menyedarinya lagi ketika menggunakan peranti.

Bagi pengguna baharu telefon lipat, perkara ini mungkin memerlukan sedikit masa untuk dibiasakan. Namun, selepas beberapa hari, perhatian biasanya tidak lagi tertumpu kepada bahagian tersebut.

#11 Apa ciri yang paling sepatutnya ada pada Samsung Galaxy Z Fold8?

Flex Mode.

Bagi pengguna baharu, ketiadaan ciri ini mungkin bukan masalah besar. Namun, bagi pengguna lama siri Z Flip, kehilangan Flex Mode memang terasa.

Saya biasa menggunakan telefon dalam keadaan separuh terbuka ketika menonton video, jadi perubahan ini agak ketara dalam rutin penggunaan.

#12 Adakah Z Fold8 terlalu besar atau berat untuk dibawa?

Tidak. Malah, reka bentuk nipisnya merupakan antara kelebihan utama.

Walaupun mempunyai skrin dalam sebesar 7.6-inci, Z Fold8 masih terasa seperti sebuah telefon biasa apabila ditutup.

Profilnya yang lebih ramping juga membuatkan ia lebih mudah dibawa, sama ada dimasukkan ke dalam beg atau digunakan sepanjang hari tanpa terasa terlalu bulky.

#13 Akhir sekali, berbaloi atau tidak membeli Z Fold8?

Dengan harga bermula RM7,299 untuk model 12GB + 256GB, Samsung Galaxy Z Fold8 sememangnya bukan telefon yang sesuai untuk semua orang.

Namun, selepas menggunakannya, saya boleh faham mengapa peranti ini menarik.

Secara keseluruhannya, Z Fold8 menawarkan pengalaman yang cukup praktikal untuk kegunaan harian, terutama bagi mereka yang mahukan lebih banyak ruang untuk bekerja dan menikmati kandungan.

Namun begitu, masih terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki, termasuk prestasi kamera zum yang sederhana, sokongan aplikasi yang belum sepenuhnya dioptimumkan untuk skrin lipat serta ketiadaan Flex Mode.

Jadi, siapa yang patut membeli Samsung Galaxy Z Fold8?

Secara jujurnya, Samsung Galaxy Z Fold8 sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah peranti yang boleh digunakan untuk kerja, hiburan dan tugasan harian tanpa perlu membawa terlalu banyak peranti.

Ia amat sesuai jika anda:

  • kerap melakukan multitugasan;
  • gemar membaca ebuku atau komik;
  • banyak menonton video;
  • gemar bermain permainan mudah alih;
  • memerlukan skrin lebih besar untuk bekerja ketika berada di luar; atau
  • mahukan telefon lipat yang boleh digunakan sebagai telefon utama.

Sebaliknya, jika kemampuan kamera zum menjadi antara keutamaan utama anda, ada beberapa pilihan lain yang mungkin lebih menepati keperluan tersebut.

Selepas menggunakannya sebagai telefon utama, saya melihat Samsung Galaxy Z Fold8 sebagai peranti yang semakin matang dan lebih mudah disesuaikan dengan rutin harian.

Ia bukan lagi sekadar telefon lipat dengan reka bentuk yang menarik, tetapi sebuah peranti yang menawarkan pengalaman berbeza mengikut cara anda menggunakannya — sama ada untuk membaca, bekerja, menghasilkan kandungan atau sekadar menikmati hiburan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd