Volvo EX30 Cross Country Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga RM218,888

September 15, 2026
Automotif

Lina Rosli

Volvo Car Malaysia baru-baru ini memperkenalkan Volvo EX30 Cross Country, varian baharu SUV elektrik kompak yang direka untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih yakin, bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di permukaan jalan yang lebih mencabar.

Sebagai model Cross Country elektrik pertama Volvo, EX30 Cross Country menampilkan beberapa ciri khusus termasuk peningkatan jarak ke tanah, sistem pacuan semua roda serta reka bentuk yang lebih lasak, di samping masih mengekalkan ciri praktikal dan saiz kompak EX30.

Dari segi prestasi, Volvo EX30 Cross Country ini dilengkapi sistem Twin Motor All-Wheel Drive (AWD) yang menghasilkan kuasa sehingga 428hp dan tork 543Nm – sekaligus membolehkan pecutan dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 3.7 saat.

Untuk pemanduan elektrik pula, EX30 Cross Country menawarkan jarak perjalanan sehingga 437km berdasarkan WLTP.

Volvo EX30 Cross Country ini juga hadir dengan bateri berkapasiti 69kWh yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 175kW – memberikan masa pengecasan 10 hingga 80 peratus sekitar 27 minit.

Volvo turut memberikan talaan baharu pada sistem stereng untuk membantu memberikan kawalan yang lebih baik ketika mengambil selekoh atau melalui permukaan jalan yang kurang rata.

Reka Bentuk Volvo EX30 Cross Country

Dari segi rekaan, Volvo EX30 beberapa elemen khusus Cross Country seperti skid plate vapour grey, bampar bawah berwarna hitam matte, sambungan pada ruang roda serta kemasan khas pada bahagian belakang.

SUV ini dilengkapi sistem penderia dan radar pada keempat-empat penjuru untuk membantu pemandu mengesan keadaan sekeliling ketika melalui jalan sempit atau melakukan manuever di kawasan bandar.

Ia turut menggunakan rim 19 inci lima jejari yang melengkapkan penampilan lebih lasak.

Bahagian dalam EX30 Cross Country mengekalkan pendekatan minimalis yang sinonim dengan Volvo. Antaranya ialah kemasan tekstil berwarna charcoal, upholsteri Nordico, panel hiasan denim serta panel saluran udara berwarna biru.

Teknologi Dan Sistem Inforia Pada Volvo EX30 Cross Country

Untuk sistem hiburan, SUV ini menggunakan skrin tengah 12.3 inci selain turut hadir dengan Google secara terbina dalam seperti Google Assistant, Google Maps dan aplikasi daripada Google Play Store.

Ia turut dilengkapi sistem audio Harman Kardon Premium Sound, selain sokongan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar.

Dari segi praktikaliti, EX30 Cross Country masih mengekalkan beberapa ciri penyimpanan yang terdapat pada EX30. Ruang penyimpanan pada pintu direka lebih besar dengan pembesar suara dipindahkan ke bahagian papan pemuka melalui sistem soundbar.

Ruang penyimpanan di antara pemandu dan penumpang hadapan pula boleh memuatkan beg tangan, manakala kotak penyimpanan di bawah tempat letak tangan belakang boleh ditanggalkan dan digunakan sebagai tong sampah.

Ruang bagasi menawarkan kapasiti 318 liter dengan semua tempat duduk digunakan. Apabila tempat duduk baris kedua dilipat, kapasiti tersebut meningkat kepada 718 liter.

Bagi mereka yang mahukan lebih banyak fungsi untuk aktiviti luar, beberapa aksesori tambahan turut tersedia seperti mud flap, load carrier, rak basikal dan roof basket.

Seperti model Volvo lain, aspek keselamatan turut menjadi antara fokus utama EX30 Cross Country.

Ia dilengkapi teknologi Safe Space serta sistem bantuan pemandu yang direka untuk membantu mengelakkan atau mengurangkan risiko perlanggaran.

Antara cirinya termasuk bantuan membrek dan stereng, sistem pemantauan pemandu, generasi terkini Pilot Assist serta Park Pilot Assist.

Bagi yang berminat, Volvo EX30 Cross Country kini boleh dilihat di pengedar sah Volvo di seluruh negara dengan harga bermula RM218,888.

Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna luaran iaitu Crystal White, Vapour Grey dan Cloud Blue.

Harga EX30 Ultra MY27 Turut Dikemas Kini

Pada masa sama, Volvo Car Malaysia turut mengumumkan kemas kini untuk EX30 Ultra MY27, yang kini ditawarkan pada harga bermula RM198,888.

Varian ini tersedia dalam empat pilihan warna iaitu Crystal White, Vapour Grey, Cloud Blue dan Onyx Black.

Untuk maklumat lanjut mengenai Volvo EX30 Cross Country dan barisan kenderaan elektrik Volvo, anda boleh mengunjungi laman rasmi Volvo Car Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd