Adakah Gaya Hidup Sihat Sahaja Cukup Untuk Lindungi Jantung? Ini Yang Perlu Anda Tahu Tentang Kolesterol
Lina Rosli
Ramai menganggap senaman secara berkala dan pemakanan seimbang sudah memadai untuk menjaga kesihatan jantung.
Namun, bagi sesetengah individu, khususnya mereka yang mempunyai risiko penyakit kardiovaskular yang tinggi, perubahan gaya hidup sahaja mungkin tidak mencukupi untuk mengawal paras kolesterol.
Perkara ini diketengahkan sempena Hari Jantung Sedunia menerusi sesi meja bulat bersama pakar kesihatan bertemakan Pastikan Ia Rendah, Pastikan Ia Stabil (Keep it Low, Keep it Stable) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah LDL-C, atau lipoprotein berketumpatan rendah yang sering dikenali sebagai kolesterol “jahat”.
Paras LDL-C yang tinggi boleh menyumbang kepada pembentukan plak dalam salur darah, sekali gus meningkatkan risiko masalah kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.
Kolesterol Tinggi Tidak Semestinya Mempunyai Gejala
Di Malaysia, dianggarkan sekitar 7.6 juta orang dewasa mengalami masalah kolesterol tinggi, manakala 4 daripada 10 orang mempunyai paras LDL-C yang tinggi. Apa yang lebih membimbangkan, hampir separuh daripada mereka tidak menyedari keadaan tersebut kerana kolesterol tinggi biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala.
Ini bermakna seseorang boleh kelihatan sihat, aktif dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang ketara, tetapi pada masa sama mempunyai paras LDL-C yang tinggi.
Menurut Dr Lim Bee Chian, Pakar Perunding Kardiologi di Pusat Perubatan Sunway, perkara ini menunjukkan mengapa penilaian risiko dan pemeriksaan kesihatan secara berkala penting, terutama bagi individu yang mempunyai faktor risiko penyakit kardiovaskular.

Badan Kita Tetap Menghasilkan Kolesterol
Pemakanan sememangnya mempunyai kaitan dengan paras kolesterol, tetapi bukan satu-satunya faktor yang perlu dipertimbangkan.
Hati merupakan organ utama yang menghasilkan sebahagian besar kolesterol dalam aliran darah, manakala sebahagian lagi diperoleh daripada makanan.
Oleh itu, faktor biologi dan genetik juga boleh mempengaruhi paras LDL-C seseorang.
Dalam keadaan tertentu, seseorang mungkin sudah mengamalkan pemakanan yang lebih baik dan aktif bersenam tetapi masih memerlukan pendekatan tambahan untuk mencapai paras LDL-C yang disasarkan.
Tidak Semua Orang Mempunyai Sasaran LDL-C Yang Sama
Satu lagi perkara penting ialah sasaran LDL-C tidak semestinya sama untuk semua individu.
Menurut pakar, semakin tinggi risiko seseorang terhadap penyakit kardiovaskular, semakin rendah paras LDL-C yang mungkin disasarkan. Sebagai contoh, individu berisiko tinggi mungkin disarankan untuk mengekalkan LDL-C di bawah 1.8 mmol/L, bergantung kepada penilaian dan garis panduan klinikal yang berkaitan.

Yang penting bukan sekadar menurunkan paras LDL-C, tetapi memastikan ia kekal rendah dan stabil dalam jangka panjang.
Pengurusan ini menjadi lebih penting bagi mereka yang pernah mengalami serangan jantung atau strok, selain individu yang mempunyai diabetes, tekanan darah tinggi, obesiti, LDL-C tinggi atau beberapa faktor risiko kardiovaskular yang lain.
Tiga Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian
Dalam sesi tersebut, pakar turut mengetengahkan konsep “Tiga Tonggak Kesihatan Jantung” (Heart Health Trifecta) yang merangkumi tiga komponen utama:
- Pemakanan – Pemilihan makanan yang lebih baik boleh membantu mengurangkan pengambilan lemak tepu serta menyokong kesihatan metabolik. Perubahan juga tidak semestinya perlu dilakukan secara drastik.
- Senaman – Aktiviti fizikal pula membantu meningkatkan kecergasan kardiovaskular dan kesihatan secara keseluruhan. Namun, individu yang mempunyai risiko kardiovaskular tinggi atau sejarah penyakit jantung perlu mendapatkan panduan yang bersesuaian sebelum memulakan atau meningkatkan intensiti senaman.
- Rawatan perubatan – Antara pilihan rawatan yang disarankan untuk individu termasuklah statin, ezetimibe dan perencat PCSK-9. Pilihan rawatan bergantung kepada keadaan kesihatan, tahap risiko dan sasaran LDL-C setiap individu.

Kolesterol tinggi boleh berlaku tanpa sebarang tanda yang jelas. Justeru, mengetahui tahap kolesterol dan memahami risiko kardiovaskular sendiri merupakan antara langkah penting dalam penjagaan kesihatan jantung.
Selain LDL-C, faktor lain seperti Lipoprotein(a) atau Lp(a) juga semakin diberi perhatian dalam penilaian risiko kardiovaskular.
Bagi mereka yang mempunyai faktor risiko, pemeriksaan dan perbincangan bersama doktor boleh membantu menentukan sasaran LDL-C serta pendekatan pengurusan yang sesuai.