Spritzer Dan Tourism Malaysia Memperkenalkan Platform Cari Makanan Tempatan

September 17, 2026
Aplikasi

Lina Rosli

Restoran dan tempat makan yang menarik sememangnya sering menjadi antara perkara yang dipertimbangkan ketika merancang perjalanan, khususnya bagi mereka yang ingin mencuba hidangan tempatan di sesuatu destinasi.

Seiring dengan itu, Spritzer menerusi kempen Air Love Cuti-Cuti: Jom Makan-Makan bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk menggalakkan orang ramai meneroka Malaysia melalui kepelbagaian makanan tempatan.

Memasuki edisi ketiga, kempen ini mengetengahkan makanan sebagai salah satu cara untuk mendorong lebih ramai rakyat Malaysia melakukan perjalanan dalam negara, di samping mengenali hidangan, budaya dan destinasi yang terdapat di negeri-negeri berbeza.

Tarikan utama kempen ini ialah platform eatlocal.my, yang menggunakan konsep leret (swipe) untuk membantu pengguna mencari hidangan tempatan.

Pengguna boleh melihat lebih daripada 100 jenis makanan Malaysia, kemudian leret ke kanan untuk hidangan yang diminati atau ke kiri jika ia bukan pilihan mereka.

Selepas memilih hidangan, platform ini akan menunjukkan lokasi yang menyediakannya dalam radius 15 kilometer.

Antara makanan yang terdapat dalam platform ini termasuk hidangan utama seperti nasi lemak dan nasi ayam, selain makanan ringan serta kuih seperti karipap dan apam balik.

Platform eatlocal.my Tersedia Di Tujuh Negeri

Buat masa ini, eatlocal.my merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Perak, Melaka dan Sabah.

Menurut kedua-dua jenama ini, kebih banyak negeri dan destinasi akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memberikan pengguna lebih banyak pilihan untuk meneroka makanan tempatan.

Selain mencari hidangan, pengguna juga boleh check-in di lokasi yang disenaraikan untuk mengumpul mata. Mata tersebut boleh ditebus untuk ganjaran berkaitan perjalanan, makanan dan gaya hidup.

Pengguna turut berpeluang menyertai cabutan bertuah bulanan yang menawarkan hadiah termasuk penerbangan ke Langkawi.

Dalam pada masa yang sama, Spritzer turut bekerjasama dengan artis tempatan Bingka untuk menghasilkan tote bag edisi terhad yang diinspirasikan oleh hidangan Malaysia.

Selain itu, terdapat juga ganjaran koleksi seperti patung plushie beruang matahari yang direka khas.

Bagi yang mahu mencari idea makanan sambil merancang perjalanan seterusnya, anda boleh mencuba platform eatlocal.my dan mula leret untuk melihat hidangan serta lokasi yang boleh diterokai.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd