SK intellix Malaysia Memperkenalkan Namuhˣ, Robotik AI Untuk Kesihatan Dan Kualiti Udara Di Dalam Bangunan
Lina Rosli
SK intellix Malaysia memperkenalkan Namuhˣ, peranti robotik berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk membantu pengguna memantau kualiti udara dan beberapa indikator kesihatan dalam ruang kediaman serta tempat kerja.
Namuhˣ merupakan peranti AI yang boleh bergerak secara autonomi di dalam sesuatu ruang bagi mengesan perubahan keadaan persekitaran sebelum memberikan tindak balas yang bersesuaian.

Dengan keadaan jerebu yang masih menjadi perhatian di Malaysia, Namuhˣ menawarkan pendekatan alternatif untuk membantu memastikan kualiti udara dalam ruang tertutup sentiasa dipantau.
Jika dibandingkan dengan pembersih udara biasa yang diletakkan secara tetap, satu unit Namuhˣ boleh mengesan kualiti udara meliputi ruang sehingga 2,000 kaki persegi sambil bergerak ke beberapa kawasan untuk mengesan perubahan kualiti udara.

Keupayaan bergerak secara autonomi ini membolehkan Namuhˣ memberikan tumpuan kepada kawasan yang mengesan kehadiran bahan pencemar, sekaligus membantu proses penulenan udara dilakukan dengan lebih bersasar.

Selain fungsi pemantauan dan penulenan udara, Namuhˣ turut dilengkapi teknologi Large Language Model (LLM), iaitu teknologi AI yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan peranti menggunakan arahan suara secara semula jadi.
Pengguna boleh berkomunikasi dengan Namuhˣ untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan, manakala aplikasi mudah alih Namuhˣ membolehkan peranti dipantau dan dihubungkan dari jarak jauh ketika pengguna berada di luar rumah.

Menurut Pengarah Urusan SK intellix Malaysia, Andy Kim Ja Joong, Namuhˣ menggabungkan beberapa fungsi yang sebelum ini memerlukan peranti berasingan dalam satu peranti.
Katanya, pendekatan tersebut turut memberi fokus kepada pengalaman penggunaan yang lebih mudah dan semula jadi melalui kawalan suara.

Malah, gabungan teknologi penderiaan, pemantauan kesihatan, penjagaan persekitaran dan interaksi suara dalam satu peranti membolehkan Namuhˣ menawarkan pendekatan baharu terhadap pengalaman kesejahteraan harian.

Namuhˣ pada asalnya diperkenalkan di Korea dan kini ditawarkan di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha SK intellix untuk mengembangkan penggunaan teknologi robotik dan AI dalam kehidupan seharian.
Peranti Namuhˣ Wellness Robotics kini boleh ditempah di Malaysia melalui laman rasmi Namuhˣ Malaysia pada harga bermula RM13,400 atau untuk pembelian secara sewa – ia ditawarkan pada harga RM199 sebulan.