GEAR PUSPAKOM Tawar Akses Temu Janji Pemeriksaan Lebih Awal Melalui Platform GiCheck

September 22, 2026
Automotif

Lina Rosli

Perkhidmatan GiCheck Early Access Reservation (GEAR) daripada PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 90% slot yang ditawarkan telah ditempah sejak diperkenalkan di seluruh negara.

GEAR merupakan perkhidmatan tempahan premium yang memberikan pelanggan akses kepada temu janji pemeriksaan kenderaan lebih awal.

Perkhidmatan ini diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan proses pemeriksaan lebih pantas, khususnya dalam sektor kenderaan terpakai.

Menurut PUSPAKOM, GEAR dibangunkan berdasarkan maklum balas daripada pengedar automotif dan pengendali armada yang memerlukan tempoh pemprosesan lebih singkat bagi menyokong urusan perniagaan mereka.

Perkhidmatan ini mula diperkenalkan pada Julai 2026 sebagai program perintis di enam cawangan.

Sepanjang tempoh tersebut, GEAR mencatatkan kadar tempahan sebanyak 98%, kadar kehadiran pelanggan hampir 95% dan purata masa pemeriksaan selama 35 minit.

Susulan sambutan tersebut, GEAR kemudiannya diperluaskan ke 26 cawangan lain lebih awal daripada jadual asal sebelum ditawarkan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, sambutan terhadap GEAR menunjukkan terdapat permintaan terhadap pilihan temu janji yang lebih fleksibel, terutama daripada industri kenderaan terpakai.

Beliau menjelaskan bahawa GEAR hanya melibatkan akses kepada temu janji dan tidak mengubah proses pemeriksaan kenderaan. Semua pemeriksaan masih dijalankan mengikut keperluan, piawaian dan peraturan yang ditetapkan.

Pada masa sama, sistem tempahan biasa PUSPAKOM terus beroperasi bagi pelanggan yang tidak memerlukan temu janji lebih awal.

Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai GEAR, termasuk cawangan yang terlibat dan ketersediaan perkhidmatan, menerusi laman sesawang rasmi PUSPAKOM atau platform tempahan GiCheck.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd