PROTON S70 Lite Dan Prime Dilancarkan Pada Harga Bermula RM56,800
Lina Rosli
PROTON secara rasminya memperkenalkan dua varian baharu untuk PROTON S70 2026, iaitu S70 Lite dan S70 Prime, dengan harga bermula RM56,800 selepas rebat pelancaran.
Kedua-dua varian ini melengkapkan rangkaian S70 sedia ada dengan menawarkan pilihan yang lebih mudah diakses, selain mengekalkan ciri utama dari segi ruang, keselesaan, ketersambungan dan keselamatan.

PROTON S70 Lite dan Prime turut menawarkan 10 ciri yang didakwa terunggul dalam kelasnya, termasuk ruang kabin dan ruang bahu penumpang belakang yang luas. Lantai belakang yang hampir rata juga membolehkan tiga penumpang duduk dengan lebih selesa.
Di dalam kabin, kedua-dua varian dilengkapi panel instrumen dengan kemasan lembut serta ruang penyimpanan yang praktikal untuk kegunaan harian.
Untuk kemudahan, ciri yang ditawarkan termasuk Electric Parking Brake dengan Auto Brake Hold, Remote Engine Start, lima port USB serta fungsi Auto Up/Down dengan Anti Trap untuk semua tingkap.

Bukan itu sahaja, Android Auto dan Apple CarPlay secara nirwayar turut akan tersedia mulai Oktober 2026.
Dari aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi enam beg udara, sensor parkir hadapan dan belakang, kamera undur serta Rear Seat Reminder sebagai ciri standard.
Sistem Rear Side Radar pula merangkumi beberapa fungsi bantuan seperti Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning dan Rear Collision Warning, dengan kelengkapan bergantung kepada varian.

Enjin 1.5L Aspirasi Semula Jadi
PROTON S70 Lite dan Prime dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi CVT bersama torque converter.
Gabungan ini direka untuk memberikan pemanduan yang lebih lancar dan selesa, khususnya bagi kegunaan harian dalam bandar, perjalanan bersama keluarga serta perjalanan jarak jauh.
Kedua-dua varian turut mengekalkan ciri PROTON Ride & Handling serta tiga mod pemanduan yang boleh dipilih mengikut keadaan jalan dan keutamaan pemandu.

Harga PROTON S70 Lite Dan Prime
Bagi yang berminat PROTON S70 Lite dan S70 Prime ditawarkan dalam lima warna iaitu Quartz Black, Marine Blue, Space Grey, Snow White dan Armour Silver.
Harga atas jalan tanpa insurans adalah:
| Varian | Semenanjung Malaysia | Malaysia Timur |
|---|---|---|
| S70 1.5 Lite | RM59,800 | RM61,800 |
| S70 1.5 Prime | RM62,800 | RM64,800 |
Bagi pelanggan yang melengkapkan tempahan dan pendaftaran sebelum 31 Disember 2026, rebat tempahan awal sebanyak RM3,000 ditawarkan.
Ini menjadikan harga selepas rebat bermula daripada RM56,800 untuk S70 Lite dan RM59,800 untuk S70 Prime di Semenanjung Malaysia.
Sebagai manfaat pemilikan, kedua-dua varian turut didatangkan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan serta enam kali servis dengan buruh percuma menerusi pakej Pro-Warranty, tertakluk kepada terma dan syarat.
Untuk maklumat lanjut, pandu uji atau tempahan, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana cawangan sah PROTON di seluruh negara.