McLaren Mengemaskini Identiti Visual Menerusi Pengenalan Logo Baharu

September 23, 2026
Automotif

Lina Rosli

Baru-baru ini, McLaren memperkenalkan identiti visual yang dikemas kini dengan penampilan wordmark baharu, tipografi khas serta beberapa elemen visual yang menghubungkan sejarah jenama dengan hala tuju masa hadapan.

Identiti ini digunakan merentasi McLaren Racing dan McLaren Automotive, sekaligus memberikan kedua-dua bahagian tersebut penampilan yang lebih seragam di bawah satu jenama.

Menariknya, kemaskini ini turut mengambil inspirasi daripada sejarah awal pertubuhan jenama McLaren di samping mengekalkan beberapa simbol yang sudah sinonim dengan jenama tersebut.

Perkembangan Identiti Visual McLaren Sejak 1960-an

Sepanjang lebih 60 tahun, identiti McLaren telah melalui beberapa perubahan.

Logo pertamanya yang diperkenalkan pada 1960-an menampilkan simbol burung Kiwi, sebelum McLaren memperkenalkan logo baharu yang lebih minimalis iaitu Speedy Kiwi dan juga warna jingga betik pada era berikutnya.

Manakala pada tahun 1997 pula, McLaren mula menggunakan elemen Speedmark, yang kemudiannya menjadi antara simbol paling dikenali bagi jenama tersebut.

Elemen ini terus dikekalkan dalam beberapa kemaskini identiti McLaren selepas itu, termasuk pada identiti terbaharu yang kini turut menampilkan wordmark baharu dengan inspirasi daripada sejarah awal syarikat.

Penggunaan Semula Tipografi Dari Papan Tanda Stesen Servis Bruce McLaren

Untuk pengetahuan anda, logo baharu McLaren mengambil inspirasi daripada papan tanda di atas stesen servis keluarga Bruce McLaren di Remuera, Auckland, New Zealand.

Stesen servis tersebut dimiliki oleh ibu bapanya dan merupakan antara lokasi penting dalam permulaan Bruce dalam dunia automotif dan perlumbaan.

Di situlah Bruce membina kereta yang membawanya kepada kemenangan perlumbaan pertamanya.

Dengan mengambil semula elemen daripada papan tanda tersebut, McLaren memberikan identiti baharunya kaitan secara langsung dengan permulaan perjalanan pengasasnya.

Antara perincian yang ketara ialah garisan di bawah huruf C pada wordmark McLaren, yang menjadi salah satu ciri baharu pada identiti tersebut.

Bukan itu sahaja, McLaren turut memperkenalkan McLaren Sans, iaitu tipografi khas yang dibangunkan untuk melengkapkan identiti visual baharu.

Palet warnanya juga diperluaskan dengan inspirasi daripada beberapa detik penting dalam sejarah McLaren.

Menurut McLaren, identiti yang dikemas kini ini direka untuk memberikan penampilan yang lebih seragam merentasi bahagian Racing dan Automotive.

Ia akan digunakan dalam pelbagai aspek jenama, termasuk kereta perlumbaan, kereta jalanan, pakaian, bahan pemasaran serta platform digital.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd