Penyakit Tiga Serangkai – Mengapa Darah Tinggi, Diabetes & Kolesterol Perlu Dikawal?

September 25, 2026
Kesihatan

Lina Rosli

Tahukah anda bahawa pada tahun 2023, Malaysia direkodkan antara negara dengan kadar diabetes yang tinggi di rantau Asia Tenggara.

Menurut Dr Muhammad, Pakar Perunding Perubatan Dalaman di Columbia Asia Hospital Puchong, pengesanan dan kawalan awal amat penting bagi mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang.

Beliau turut menjelaskan bahawa mengawal satu keadaan kesihatan sahaja tidak mencukupi. Bagi individu yang mempunyai tekanan darah tinggi, diabetes atau kolesterol tinggi, ketiga-tiga keadaan ini perlu diuruskan secara menyeluruh bagi mengurangkan risiko komplikasi seperti penyakit jantung dan strok.

Saringan Sahaja Tidak Mencukupi

Secara umumnya, individu yang menghidap ketiga-tiga penyakit tekanan darah tinggi, diabetes atau kolesterol tinggi – penjagaan kesihatan memerlukan lebih daripada sekadar menjalani saringan secara berkala.

Pakar turut menyarankan perubahan kepada gaya hidup yang lebih sihat. Ini termasuklah:

  • mengurangkan pengambilan garam dan gula
  • mengehadkan makanan berproses
  • bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sebanyak tiga kali seminggu
  • mengekalkan berat badan yang sihat
  • berhenti merokok
  • mendapatkan tidur yang mencukupi

Pada masa sama, pengambilan ubat seperti yang ditetapkan doktor juga penting bagi membantu mengawal penyakit kronik. Walaupun keadaan kesihatan bertambah baik, pesakit tidak seharusnya menghentikan pengambilan ubat tanpa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Pemeriksaan susulan secara berkala pula membolehkan doktor menilai keadaan pesakit dan menyesuaikan rawatan mengikut perubahan keperluan kesihatan dari semasa ke semasa.

Kenali Angka Kesihatan Anda

Selain mendapatkan pemeriksaan berkala, pemantauan di rumah juga boleh dilakukan, khususnya bagi bacaan tekanan darah dan paras gula dalam darah.

Pengurusan tekanan turut memainkan peranan dalam penjagaan kesihatan kerana tekanan yang berpanjangan boleh mempengaruhi tekanan darah dan paras gula dalam darah.

Menurut pakar menjaga kesihatan bukanlah tanggungjawab doktor semata-mata. Setiap individu perlu mengambil peranan dengan mengenali angka kesihatan sendiri, termasuk bacaan tekanan darah, paras gula dan kolesterol.

Pada masa sama, usaha untuk mengekalkan gaya hidup yang lebih sihat juga perlu dilakukan secara berterusan. Pencegahan dan tindakan awal dapat membantu mengurangkan risiko komplikasi yang boleh menjejaskan kualiti hidup, termasuk penyakit jantung dan strok.

Justeru, jangan tunggu sehingga muncul tanda atau komplikasi. Mengenali risiko, menjalani saringan dan mengambil langkah untuk mengurus kesihatan lebih awal boleh menjadi antara usaha penting dalam menjaga kesihatan jantung untuk jangka panjang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd