Mercedes-AMG GT 63 PRO & GT 63 4-Door Coupé Diperkenalkan Pada Harga Bermula RM1.29 Juta

September 30, 2026
Automotif

Lina Rosli

Sempena acara perlumbaan Formula 1 di Malaysia pada 2 hingga 4 Oktober ini, Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé serta menampilkan pratonton Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé di KLCC Plaza, Kuala Lumpur.

Kedua-dua model ini hadir dengan karakter berbeza yang mana AMG GT 63 PRO mengekalkan enjin V8 biturbo dengan talaan yang lebih berorientasikan prestasi, manakala AMG GT 63 4-Door Coupé membawa pendekatan serba elektrik menerusi seni bina AMG.EA.

Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé

Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé dikuasakan enjin V8 biturbo 4.0-liter yang menghasilkan 450 kW (612 hp) dan 850 Nm. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 317 km/j.

Berbanding AMG GT 63 biasa, versi PRO menerima beberapa peningkatan yang memberi tumpuan kepada pemanduan berprestasi tinggi, termasuk sistem penyejukan yang dipertingkatkan, talaan aerodinamik baharu dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+.

Rekaan luar turut diperkemaskan dengan rim AMG forged 21-inci, komponen gentian karbon dan AMG Night Package II. Di dalam, ia menampilkan tempat duduk AMG Performance, kemasan gentian karbon serta material MICROCUT.

Harga anggaran untuk pasaran Semenanjung Malaysia bermula daripada RM2,088,888.

Bagi pengumpul yang mahukan sesuatu yang lebih eksklusif, Mercedes-AMG turut menawarkan Motorsport Collectors Edition yang dihadkan kepada hanya 200 unit di seluruh dunia. Edisi khas ini menggunakan kemasan hitam obsidian dengan elemen berwarna PETRONAS pada beberapa bahagian luaran dan kabin.

Harga bagi edisi terhad ini dianggarkan bermula RM2,588,888 di Semenanjung Malaysia.

Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé

Berbeza dengan GT 63 PRO, Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé menggunakan sistem pacuan elektrik berasaskan seni bina AMG.EA.

Model ini menggunakan tiga motor elektrik axial-flux yang menghasilkan kuasa sehingga 860 kW (1,169 hp) dan tork maksimum 2,000 Nm. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.4 saat, dengan kelajuan maksimum 260 km/j.

Sistem tersebut dipadankan dengan bateri berkapasiti boleh guna 106 kWh dan sistem elektrik 800 volt.

Dengan pengecasan DC sehingga 350 kW, bateri boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam sekitar 16 minit pada pengecas yang serasi. Jarak pemanduan pula mencecah sehingga 697 km berdasarkan WLTP.

Untuk mengurus kuasa yang besar ini, AMG GT 63 4-Door Coupé dilengkapi sistem seperti AMG RACE ENGINEER, AMG Performance 4MATIC+ serta stereng gandar belakang aktif.

Pada kelajuan sehingga 80 km/j, roda belakang membelok berlawanan arah dengan roda hadapan bagi membantu meningkatkan ketangkasan, sebelum bertukar arah yang sama pada kelajuan lebih tinggi untuk meningkatkan kestabilan.

Di dalam, suasana kabin menggabungkan elemen kereta sport dengan teknologi moden.

Ia dilengkapi tempat duduk AMG Performance, kemasan gentian karbon, kluster instrumen 10.2-inci dan skrin multimedia 14-inci. Penumpang hadapan turut mempunyai skrin 14-inci tersendiri.

Sistem MBUX pula menawarkan beberapa ciri khusus AMG seperti AMG Performance Menu, AMG SET-UP dan AMG TRACK PACE, selain kelengkapan seperti MB.DRIVE ASSIST, kamera 360 darjah, Blind Spot Assist, DISTRONIC dan PARKTRONIC untuk pasaran Malaysia.

Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé ditawarkan pada harga anggaran bermula RM1,290,000 untuk Semenanjung Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd