Honda City Hatchback 2026 Kini Dibuka Untuk Tempahan

October 2, 2026
Automotif

Lina Rosli

Honda Malaysia kini membuka tempahan untuk Honda City Hatchback baharu selepas pelancaran City Sedan baharu, sekaligus melengkapkan barisan City dengan pilihan dua bentuk badan mengikut gaya hidup dan keperluan pengguna.

Dari segi luaran, Honda City Hatchback baharu menerima beberapa perubahan untuk memberikan penampilan yang lebih dinamik.

Bahagian hadapan kini menampilkan rekaan bampar yang lebih tajam dan kemas, bersama lampu hadapan baharu Connected Headlights yang memberikan imej lebih moden.

Untuk varian RS, model ini turut dilengkapi rim aloi dua tona 16 inci dengan kemasan Berlina Black dan Dark Clear yang menyerlahkan karakter sporty hatchback ini.

Masuk ke ruang kabin, Honda turut memberikan beberapa naik taraf bagi menjadikan pengalaman pemanduan lebih premium. Kemasan papan pemuka baharu dengan corak 3D Pattern Mid Garnish bersama Ambient Light memberikan suasana dalaman yang lebih menarik.

Sistem inforia juga dinaik taraf dengan skrin Display Audio 10 inci berbentuk terapung yang memudahkan kawalan dan penggunaan harian.

Walaupun hadir dalam saiz kompak, Honda City Hatchback terus mengekalkan ciri praktikal menerusi sistem ULTRA Seats.

Teknologi tempat duduk ini menawarkan empat konfigurasi berbeza iaitu Utility, Long, Tall dan Refresh, membolehkan pengguna mengubah susunan ruang kabin mengikut keperluan.

Sama ada untuk membawa barangan besar, barangan panjang atau memaksimumkan ruang penumpang, ciri ini menjadi antara kelebihan utama City Hatchback berbanding hatchback kompak lain.

Untuk enjin pula, Honda City Hatchback baharu masih menawarkan sistem 1.5L e hybrid yang menghasilkan kuasa 109PS dan tork maksimum 253Nm.

Honda Malaysia turut menawarkan waranti bateri dan komponen hybrid selama 10 tahun dengan perbatuan tanpa had bagi memberikan keyakinan pemilikan jangka panjang.

Dari segi keselamatan, Honda City Hatchback baharu kini dilengkapi beberapa ciri bantuan pemanduan tambahan.

Antaranya ialah sistem 360° Multi-View Camera System yang membantu memberikan pandangan lebih menyeluruh ketika meletakkan kenderaan atau bergerak dalam ruang sempit.

Selain itu, ciri Blind Spot Information dan Cross Traffic Monitoring turut diperkenalkan bagi membantu pemandu mengesan kenderaan di kawasan titik buta serta ketika mengundur.

Model ini turut meneruskan ciri keselamatan Honda Sensing untuk membantu memberikan pengalaman pemanduan yang lebih yakin.

Bagi meningkatkan pengalaman pemilikan, Honda Malaysia turut memperkenalkan pakej waranti baharu sehingga 8 tahun dengan perbatuan tanpa had untuk pembelian model Honda baharu petrol dan hybrid bermula 1 September 2026.

Bagi yang berminat, tempahan Honda City Hatchback baharu kini dibuka melalui laman rasmi Honda Malaysia, pengedar sah Honda atau talian bebas tol Honda Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd