GWM ORA 5 HEV Kini Dibuka Untuk Tempahan, Harga Dianggarkan RM115,000

October 6, 2026
Automotif

Lina Rosli

Selepas diperkenalkan kepada rakyat Malaysia menerusi beberapa siri pratonton sebelum ini, GWM Malaysia kini membuka tempahan rasmi untuk GWM ORA 5 HEV serba baharu menjelang pelancaran model tersebut pada November 2026.

SUV kompak hibrid ini dijangka ditawarkan pada anggaran harga jualan RM115,000, yang mana model ini hadir dengan teknologi hibrid pintar Hi2 GWM, dengan gabungan prestasi, kecekapan bahan api dan jarak pemanduan yang lebih jauh.

Dari segi prestasi, GWM ORA 5 HEV dikuasakan oleh gabungan enjin turbo 1.5 liter dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 223 PS serta tork maksimum 476 Nm.

Sistem hibrid pintar Hi2 GWM direka untuk memberikan penghantaran kuasa yang lebih lancar dan responsif dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Dari segi kecekapan, model ini mencatat penggunaan bahan api serendah 4.4 liter bagi setiap 100 kilometer.

Lebih menarik, GWM ORA 5 HEV menawarkan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,100 km dalam keadaan optimum. Ini membolehkan pemandu menggunakan kenderaan untuk perjalanan harian di bandar mahupun perjalanan jarak jauh tanpa terlalu kerap berhenti untuk mengisi bahan api.

Bagi yang berminat, tempahan rasmi GWM ORA 5 HEV kini dibuka di semua pengedar sah GWM di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, harga jualan akhir serta spesifikasi lengkap GWM ORA 5 HEV masih belum diumumkan dan akan diperincikan ketika pelancaran rasminya di Malaysia yang dijadualkan pada November 2026.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd