PUSPAKOM Kajang Kini Dibuka, Tawar Pemeriksaan Hingga 800 Kenderaan Sehari
Lina Rosli
Penduduk di Kajang, Semenyih, Beranang, Bangi dan kawasan sekitarnya kini mempunyai pilihan lebih dekat untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan menerusi pembukaan PUSPAKOM Kajang di Bandar Teknologi Kajang.
Untuk pengetahuan anda, PUSPAKOM Kajang akan menyediakan perkhidmatan untuk kenderaan persendirian serta kenderaan perdagangan ringan.
Pemeriksaan kenderaan persendirian telah bermula pada 5 Oktober 2026, manakala Pemeriksaan Berkala dan Pemeriksaan Ulangan Berkala bagi kenderaan perdagangan ringan akan bermula pada 28 Oktober 2026.

Seterusnya, Pemeriksaan Awalan dan Pemeriksaan Ulangan Awalan akan mula ditawarkan pada 23 November 2026.
Antara perkhidmatan lain yang disediakan termasuk:
- Pemeriksaan Khas
- Pemeriksaan Pertukaran Hak Milik (MV15)
- Pemeriksaan Sewa Beli (B7)
- Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela (B2)
Pelaksanaan secara berperingkat ini dibuat bagi memastikan operasi dan pengalaman pelanggan dapat berjalan dengan lancar.

Menurut PUSPAKOM Kajang, tujuan pusat ini dibangunkan adalah sebagai pusat pemeriksaan berkapasiti tinggi – yang mana dikhususkan untuk pemeriksaan kenderaan perdagangan ringan dan kenderaan persendirian.
Pusat ini mempunyai 10 lorong pemeriksaan, dengan lima lorong untuk kenderaan perdagangan dan lima lagi untuk kenderaan persendirian.
Secara keseluruhan, PUSPAKOM Kajang mempunyai kapasiti untuk memeriksa sehingga 800 kenderaan sehari.

Pembukaan pusat ini juga dilihat dapat membantu memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di kawasan selatan Selangor.
Selain meningkatkan kapasiti, PUSPAKOM Kajang turut menjadi antara lokasi yang akan menyokong usaha syarikat memperkenalkan teknologi pemeriksaan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Keupayaan pemeriksaan berbantukan AI yang meliputi bahagian bawah dan bahagian atas kenderaan dirancang untuk mula dilaksanakan pada November 2026.

Untuk pengetahuan anda juga, ia merupakan cawangan PUSPAKOM pertama yang menerapkan identiti korporat syarikat dalam reka bentuk cawangan.
Pembukaan PUSPAKOM Kajang turut menyusuli penutupan PUSPAKOM Pandan Mewah pada 30 September 2026. Pelanggan yang sebelum ini mendapatkan perkhidmatan di cawangan tersebut kini boleh memilih PUSPAKOM Kajang atau cawangan PUSPAKOM lain yang berdekatan, tertakluk kepada ketersediaan slot.