Honda City Hatchback Baharu Kini Dipasang Secara Tempatan Di Melaka

October 7, 2026
Automotif

Lina Rosli

Honda Malaysia secara rasmi memulakan pemasangan New City Hatchback di kilangnya di Melaka, sekaligus meneruskan operasi pembuatan kenderaan Honda di Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, Honda Malaysia telah menjalankan operasi pembuatan tempatan sejak 2003 dan kini bekerjasama dengan kira-kira 500 pembekal tempatan.

Operasi ini turut menyokong hampir 20,000 tenaga kerja, merangkumi Honda Malaysia, rangkaian pengedar dan rakan pembekal.

Sejak diperkenalkan pada 2021, City Hatchback telah mencatatkan jualan terkumpul melebihi 51,000 unit di Malaysia.

Dengan pengeluaran generasi baharu ini, Honda Malaysia meneruskan penawaran City Hatchback sebagai model yang menggabungkan gaya, praktikaliti dan fleksibiliti untuk kegunaan harian.

New City Hatchback hadir dengan reka bentuk yang diperbaharui, ciri kesalinghubungan yang dipertingkatkan serta teknologi yang lebih menyeluruh.

Model ini turut mengekalkan ciri ULTRA Seats yang memberikan lebih fleksibiliti dari segi penggunaan ruang kabin dan penyusunan tempat duduk.

Setakat ini, Honda Malaysia masih belum mendedahkan butiran penuh spesifikasi serta harga jualan bagi model tersebut.

Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam pembuatan kenderaan di Malaysia, kilang Honda di Melaka terus memainkan peranan penting dalam operasi tempatan syarikat, selain menyokong rangkaian pembekal dan tenaga kerja dalam industri automotif negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd